RSS Suria

Sesal tak sudah… Ibu dah meninggal, anak kerja di stesen minyak baru sedar tak baca mesej terakhir dihantar arwah ketika hari lahir

PEMERGIAN orang tersayang bukanlah sesuatu yang mudah untuk diterima.

Lebih-lebih lagi khabar duka itu diketahui menerusi satu panggilan telefon pada waktu yang tak dijangka.

Seorang pekerja stesen minyak yang tular berkata, hanya tuhan yang tahu perasaannya apabila menerima berita mengenai pemergian ibu.

Berkongsi cerita kepada mStar, pekerja berkenaan, Siti Nur Alia Razali tampil menjelaskan dia menerima panggilan berkali-kali daripada ibu angkatnya (ibu) mengenai ibu kandungnya (Umi) sudah meninggal dunia, pada 1 Julai lalu.

Mesra disapa Eby, katanya, dia dibesarkan oleh ibu angkat yang juga saudara keluarganya sejak kecil dan dalam masa sama sentiasa berhubung dengan ibu bapa kandungnya.

“Hari tu saya kerja pagi dari pukul 9 pagi hingga 5 petang. Dah nak habis kerja kira-kira 4.30 petang baru saya jawab panggilan ibu sebab telefon saya dicas dan disimpan di kaunter.

“Saya sedang kerja, memang selalu ralit tak tengok telefon. Sebenarnya ibu angkat dah cuba call saya berkali-kali sejak tengah hari untuk beritahu Umi sedang tenat.

“Masa saya jawab call tu, Umi baru menghembuskan nafas terakhir. Itu yang saya tak sangka sampai terduduk, menangis segala macam perasaan ada,†katanya ketika dihubungi mStar.

Urusan pengebumian arwah Umi pada 1 Julai 2024.

Meninggal dunia pada usia 59 tahun, ibu kandung Eby iaitu Allahyarhamah Yetti Anggraini Abdullah juga sentiasa berhubung dengan anaknya itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Ralit kerja, anak perantau kesal ‘set’ telefon mod senyap! Mujur rakan sedar panggilan berkali-kali, terduduk dapat tahu mak meninggal

ARTIKEL BERKAITAN: Mak baru meninggal, pemuda tumpang rumah flat kakak… Terkejut sikap penghuni PPR, salah parkir Kancil buruk dirosakkan

Malah setiap kali hari ulang tahunnya pada 27 Jun, kata Eby, ibu kandungnya tidak pernah lupa tarikh istimewa itu dan sering menghubunginya serta memberikan ucapan hari jadi.

Arwah Umi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Lumpur di Kuantan.

Namun kata gadis berasal dari Kuantan, Pahang itu, hari jadinya pada tahun ini jelas berbeza apabila ibunya membuat satu pendedahan yang tidak disangka-sangka melalui mesej WhatsApp.

“Umi beritahu ‘Setiap tahun selama 22 tahun, lima hari sebelum melahirkan penghuni rahim yang ke-4, pasti Umi demam‘. Saya tak tahu kenapa, sebab Umi tak ada penyakit.

“Saya balas ‘Terima kasih bertarung nyawa untuk lahirkan kakak… kakak minta maaf kalau ada salah silap dengan Umi‘,” ujar Eby yang mempunyai seorang adik lelaki berusia 21 tahun.

Kenangan… Eby (kiri) bersama Umi (tengah) dan adik lelaki.

Eby yang bekerja di sebuah stesen minyak selama hampir setahun itu bagaimanapun mengakui terkilan apabila membaca mesej terakhir daripada ibu kandung yang dihantar pada hari lahirnya.

“Hanya selepas dapat panggilan ibu mengenai Umi sudah meninggal dunia, baru saya sedar ada mesej Umi yang belum sempat baca yang dihantar pada birthday saya kerana sedang sibuk ketika itu.

Umi ajar saya dan adik menjadi seorang yang pemaaf dan penyabar.

SITI NUR ALIA RAZALI

“Umi cakap ‘Anak-anak Umi tak pernah buat salah silap pada Umi. Semoga selalu dalam rahmat Allah SWT‘. Saya hanya baca pada hari Umi meninggal dan itu adalah mesej terakhir Umi sebelum dia meninggal dunia, saya rasa menyesal sangat,” ujarnya dengan nada sebak.

Dalam pada itu, Eby bersyukur kerana berpeluang untuk pulang bagi pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Lumpur di Kuantan, pada malam 1 Julai lalu.

Eby berkongsi mesej terakhir bersama arwah Umi.

Menyifatkan ibu kandungnya sebagai penyayang, Eby berkata, wanita itu banyak mengajar erti kesabaran dan memaafkan sesama insan.

“Umi kata walaupun orang buat jahat dengan kita, kita jangan balas dengan kejahatan. Kalau ada perkara terbaik, ibu pesan supaya sentiasa besar, ingat Allah SWT yang balas. Umi ajar saya dan adik menjadi seorang yang pemaaf dan penyabar.

“Kerana dibesarkan oleh ibu angkat, saya dan Umi jarang berjumpa. Tapi kenangan terindah pada Julai tahun lalu kerana kami dapat menghabiskan masa bercuti bersama berserta adik dan nenek.

“Masa tu rasa paling nikmat sebab momen saya bersama Umi seperti satu keluarga, termasuk bercuti ke Genting Highlands. Walaupun saya dibesarkan keluarga angkat, Umi tetap ‘syurga’ yang melahirkan saya ke dunia ni,” katanya lagi.

Terdahulu, mStar melaporkan Eby yang sedang bekerja di sebuah stesen minyak terkejut apabila menerima panggilan mengenai berita pemergian ibu kandungnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Scroll to Top