RSS Suria

Foto ‘ikan terlalu lembut’ jadi perhatian, peniaga minta pelanggan hati-hati… Ini teknik masak supaya isi tak hancur

MEMASAK ikan mungkin kelihatan mudah, tetapi salah satu cabaran yang sering dihadapi adalah memastikan isinya tidak hancur semasa atau selepas dimasak.

Tular satu foto di media sosial menunjukkan seorang peniaga meminta pelanggannya yang mahu mengambil ikan masak asam pedas supaya berhati-hati.

“Ikan terlampau lembut, sila berhati-hati,” tulis peniaga itu sebagai peringatan kepada pelanggannya yang mahu mencedok hidangan itu.

Sebenarnya ada petua pernah dikongsikan Annida Ammar di Facebook untuk mengatasi masalah ini.

Berikut adalah beberapa tip penting untuk memastikan isi ikan dalam sup atau masakan berkuah tidak hancur dan tetap sedap.

Petua yang dikongsikan ini disertakan bersama resipi untuk memasak sup ikan merah.

Orang ramai memilih untuk makan di kedai yang mempunyai pelbagai jenis lauk. -Gambar hiasan

Cara-cara:

1. Panaskan minyak dalam periuk, kemudian masukkan kayu manis.

2. Tumbuk bawang merah, bawang putih dan halia.

3. Tumiskan bahan tumbuk tersebut dalam minyak sehingga naik bau.

4. Masukkan air dan garam ke dalam periuk. Biarkan kuah mendidih.

5. Setelah kuah mendidih, masukkan ikan.

6. Elakkan dari mengacau terlalu kerap agar bahagian ikan tidak hancur.

7. Tambahkan lobak merah dan daun sup.

8. Masak sehingga lobak empuk dan ikan masak sepenuhnya.

Menerusi teknik ini, jelaslah bahawa kuah atau sup perlu dimasak terlebih dahulu hingga mendidih sebelum memasukkan ikan.

Juga diingatkan supaya jangan terlalu kerap mengacau ikan yang merupakan sumber protein ini dalam sup kerana ia boleh menyebabkan isinya hancur.

Dengan mengikuti petua dan resipi di atas, anda akan dapat menyediakan sup ikan atau hidangan berkuah lain yang lazat dan isinya tidak hancur.

Selain itu juga, pemilihan ikan yang masih segar adalah penting untuk memastikan isinya tidak mudah hancur selepas dimasak.

Selamat mencuba dan selamat menjamu selera!

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Scroll to Top