FILEM lakonan pelakon Shaheizy Sam dan Sharifah Amani iaitu La Luna dipilih mewakili penyertaan Singapura bagi kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik di Anugerah Oscar ke-97 tahun depan.
Mediacorp melaporkan, filem arahan pengarah Singapura, M. Raihan Halim ini diumumkan oleh Suruhanjaya Filem Singapura (SFC) iaitu sebahagian daripada Penguasa Pembangunan Infokom Media Singapura (IMDA) yang membuat penilaian dan memilih La Luna untuk bersaing ke peringkat antarabangsa.
Menurut Penolong Ketua Eksekutif IMDA iaitu Justin Ang, filem La Luna merupakan bukti bahawa kehidupan berbilang bangsa dan bahasa di Singapura dapat menghasilkan sebuah karya terbaik.
“La Luna adalah bukti hebat kehidupan berbilang bahasa dan etnik Singapura yang menghasilkan cerita menarik.
Filem La Luna berjaya menarik penonton di Malaysia, Singapura dan Indonesia.
“Kami sangat bangga dengan Raihan dan pasukan produksi, serta pelakon dan kami menantikan berita baik di Oscar 2025,” katanya.
Dalam pada itu, Raihan turut meluahkan rasa syukur dan terkejut apabila filem arahannya dipilih menjadi calon untuk dipertandingkan di anugerah berprestij itu.
“Saya sangat merasa rendah diri, kagum dan berbesar hati mewakili Singapura dengan filem kami, La Luna. Saya dan pasukan sangat terharu,” ujarnya.
Sementara itu, Amani atau Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya, 38, turut terkejut dengan pemilihan itu kerana tidak menjangka filem berkenaan dipilih mewakili Singapura di Anugerah Oscar.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Kontroversi filem ‘La Luna’, Shaheizy Sam dah tanya ustaz di Makkah
ARTIKEL BERKAITAN: ‘Abang Adik’ wakil filem Malaysia ke Anugerah Oscar ke-97
“Untuk diiktiraf oleh Singapura sebagai pemilihan rasmi mereka untuk Oscars adalah sesuatu yang tidak disangka-sangka.
“Setiap filem mempunyai nyawanya sendiri dan La Luna adalah karya yang lahir daripada semangat dan kerja keras semua terlibat.
“Pengiktirafan ini adalah untuk kita semua yang percaya kepada kuasa penceritaan untuk merapatkan jurang dan saya benar-benar bersyukur dan teruja dengan apa yang akan datang kelak,” katanya.
Amani teruja filem lakonannya mewakili penyertaan di Anugerah Oscar.
La Luna merupakan terbitan Clover Films dan Papahan Films yang bekerjasama dengan ACT 2 Pictures dan One Cool Film dari Malaysia.
Filem ini mengisahkan tentang seorang wanita yang membuka kedai pakaian dalam yang diberi nama La Luna di sebuah kampung di Malaysia sehingga menimbulkan pelbagai reaksi daripada masyarakat sekeliling.
Ditayangkan di pawagam pada November 2023, La Luna bukan sahaja berjaya menarik penonton di Malaysia bahkan di Singapura dan Indonesia.
Selain Shaheizy dan Amani, La Luna turut dibintangi barisan pelakon antaranya Wan Hanafi Su, Hisyam Hamid, Nadiya Nisaa dan Nam Ron.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!