RSS Suria

Mak ayah bercerai, anak jadi mangsa konflik keluarga… Pemuda hadapi tekanan emosi, bapa asyik ungkit hadiah kereta

SETIAP orang tentunya teruja apabila menerima hadiah yang tidak disangka, lebih-lebih lagi diberikan sebuah kereta.

Namun apa yang tidak sedap didengar apabila pemberian itu diungkit kemudian hari hanya disebabkan konflik kekeluargaan.

Menerusi satu perkongsian, seorang pemuda meluahkan tentang kereta yang diberikan bapanya untuk kegunaan harian.

Tanpa mendedahkan model kenderaan yang dihadiahkan, lelaki itu berkata konflik timbul selepas ibu bapanya berpisah.

Kedua-dua ibu bapanya sudah berpisah pada tahun lalu. -Gambar hiasan

“Ayah dan mak sudah bercerai tahun lepas. Saya ada masalah di mana ayah saya tak suka keluarga belah mak.

“Setiap kali saya keluar berjalan dengan keluarga mak, mulalah ayah mengungkit pasal kereta dia yang saya pakai sekarang ni,” luahnya menerusi satu hantaran di Facebook.

ARTIKEL BERKAITAN: Gaji 2K sebulan dihabiskan untuk keluarga… Ibu tak nampak pengorbanan anak, ‘sedap’ tuduh boros kalau cakap tak ada duit

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis bengang susah kikis duit BF, gaji 6K tapi kedekut… Bawa makan tempat biasa, belanja shopping jauh sekali

Bercerita lanjut, menurut pemuda itu, dia pernah menyuarakan hasrat untuk membeli kereta sendiri tetapi rancangan tersebut tidak dipersetujui bapanya.

“Apabila saya nak beli kereta baharu, ayah tak bagi pula. Katanya kereta ni dia hadiahkan kepada saya. Tapi hujung-hujung dia mengungkit pula.

“Tadi pun dia marah saya sebab keluarga belah mak tumpang saya untuk balik kampung,” ujarnya.

Menumpangkan keluarga sebelah ibu tidak disenangi bapanya. -Gambar hiasan

Tambah lelaki itu, keluarga di sebelah ibunya pasti akan membayar duit minyak setiap kali mereka menumpang kereta.

Namun keadaan yang berlaku membuatkan dia buntu, lebih-lebih lagi tekanan dan desakan daripada bapanya sendiri.

Beli kereta sendiri tak pening kepala.

WARGA MAYA

“Saya pun tak tahu nak buat apa sekarang ni. Letih apabila hidup asyik dipersalahkan setiap masa.

“Buat baik pun tak betul. Buat ini pun tak betul. Sekurang-kurangnya aman juga hidup saya apabila tak ada orang yang asyik cari salah saya.

“Perlukah saya teruskan kehidupan saya? Rasa macam tak ada fungsi je saya ni hidup,” katanya lagi penuh hampa.

Wang dan harta boleh mencetuskan perbalahan dalam keluarga. -Gambar hiasan

Menerusi ruangan komen, rata-rata warga maya bersimpati dengan nasib yang dialaminya sambil memberikan pandangan masing-masing.

“Diberi peluang untuk teruskan hidup tu dah kira rezeki paling besar Tuhan bagi tapi ramai manusia tak bersyukur. Dah beri tapi mengungkit dan berkira.

“Dengan anak sendiri pun berkira padahal untuk kesenangan, sakit demam dia esok-esok hari juga. Kalau anak-anak abaikan dia, mula la dia buat drama anak derhaka alaf baharu.

“Beli kereta sendiri tak pening kepala. Kau beli je kereta baharu kalau ada duit lebih. Tak payah dah serabut-serabut sentuh kereta tu, buat rosak mental je menghadap orang sikit-sikit mengungkit ni walaupun mak ayah sendiri,” komen warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Scroll to Top