RSS Suria

Tak perasan rumah ada CCTV, lelaki ‘kantoi’ toreh 3 buah kereta jiran! Pasrah bayar kos repair 30K, lain-lain tuntutan mangsa

MENJAGA hubungan baik sesama jiran sangat penting dalam memastikan keharmonian hidup bermasyarakat.

Sekali pun timbul rasa tidak puas hati, cubalah berbincang untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.

Di TikTok, seorang peguambela dan peguamcara, Sam Masri berkongsi tentang satu kes melibatkan seorang individu yang mendakwa tiga buah keretanya dicalarkan dengan sengaja oleh jiran.

Melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV), pengadu mendapati jirannya berada di tempat kejadian, berjalan sambil mencalarkan kereta menggunakan objek yang tidak dikenal pasti.

Rakaman CCTV memaparkan kelakukan jiran.

“Seorang pengadu memberitahu tiga buah kenderaan miliknya dicalarkan oleh seorang individu yang merupakan jirannya.

“Melihat kepada kereta yang dicalarkan melalui CCTV, dia mendapati bahawa jirannya ini berada di tempat kejadian.

“Walaupun ada tidak puas hati dengan sesuatu, kita tidak ada hak mencalarkan atau merosakkan harta benda orang lain. Kebanyakan rumah ada CCTV jadi sebelum lakukan apa-apa kena fikir sebab kita boleh disabitkan dengan kesalahan,” jelasnya.

Menurut Masri, ‘mangsa’ kes keretanya dicalarkan ini merupakan sahabatnya yang minta dibantu untuk menyelesaikan kes.

Masri yang memiliki lebih 32,000 pengikut di TikTok berkata, kereta yang dicalarkan adalah jenis Audi, Toyota dan BMW.

Peguam ini kemudian meneruskan lagi penceritaannya apabila perkongsiannya tentang kes ini mendapat perhatian ramai.

ARTIKEL BERKAITAN: Suruh orang potong rumput, sekali cermin kereta pecah! Lelaki ini tak sanggup minta ganti rugi, terkenang upah hanya RM100

ARTIKEL BERKAITAN: Tak perlu buang masa caci maki syarikat penerbangan jika bagasi rosak… Lebih baik ikut panduan ini, terus tuntut ganti rugi

“Selepas saya dihubungi mangsa, laporan polis dibuat menyatakan kesalahan dan perbuatan yang dibuat serta kos kerosakan untuk diperbaiki.

“Pihak polis berjumpa keluarga dan suspek. Setelah perbincangan diadakan kepada suspek, mereka sedia menanggung permintaan sahabat.

“Mereka setuju bayar RM30,000 bagi mengganti rugi kereta yang dirosakkan iaitu kereta Audi, Toyota dan BMW sebab kena lalui proses coating semula,” jelasnya.

Merujuk kepada undang-undang, perbuatan mencalarkan kenderaan jiran boleh didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan individu terlibat boleh berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda.

Jadi kalau tak puas hati sesuatu bawalah berbincang.

SAM MASRI

PEGUAMBELA

Kata Masri lagi, ganti rugi ini tidak hanya meliputi kos pembaikan, tetapi juga termasuk kos sewa kenderaan lain yang diperlukan oleh pengadu untuk urusan harian.

“Ganti rugi ini bukan bermakna kos semata-mata tetapi ganti rugi kepada kos kita sewa kenderaan lain yang perlu dibayar kerana nak guna kerja.

“Lepas selesai dibayar, dia perlu tarik semula kes. Nasihat kepada semua walaupun perkara ini selesai tapi ini jumlah wang besar jadi terpaksa dikeluarkan.

“Jadi kalau tak puas hati sesuatu bawalah berbincang,” ujarnya menitipkan nasihat kepada orang ramai.

Komen netizen di TikTok.

Hantaran yang dianggap bermanfaat oleh netizen ini mendapat pelbagai respons di ruangan komen.

“Terbaik, berani buat kena berani tanggung la.

“Dia bayar sebab ada duit, tu je dan tak nak naik mahkamah.

“Anak jiran calarkan kereta saya minta RM1,000 sampai sekarang tak bayar. Naya nanti kalau saya buat laporan polis,” kata netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Scroll to Top