ISU bayaran tertunggak daripada pihak stesen televisyen terhadap artis bukanlah perkara baharu, namun kebelakangan ini ia kembali menjadi topik hangat dalam industri hiburan tanah air.
Terbaharu, pelawak dan penyanyi, Achey atau Mohd Nasir Hamzah, 39, tampil bersuara mengenai perkara tersebut dan meluahkan rasa syukur kerana tidak pernah mengalami masalah itu sepanjang bergiat aktif dalam dunia seni.
Kata Achey, sistem pengurusan yang kemas dan tegas dalam soal pembayaran menjadi kunci utama dia terhindar daripada masalah tersebut.
Achey syukur tak pernah hadapi masalah gaji bayaran tertunggak.
“Saya tak tahu pengurusan mereka macam mana, tapi syukur pihak pengurusan saya ada cara tersendiri bila melibatkan hal pembayaran ini.
“Saya akan pastikan 30 atau 50 peratus bayaran dibayar dahulu. Jika pembayaran akhir tak keluar, saya memang takkan buat kecuali saya sendiri yang nak buat secara rela hati,” katanya ketika dihubungi mStar.
Tegas Achey, dia pernah menolak untuk keluar membuat persembahan hanya kerana bayaran akhir tidak dijelaskan seperti dijanjikan.
“Saya pernah duduk dalam bilik sahaja dan beritahu pada produksi yang pengurusan saya tak benarkan keluar buat persembahan sebab pembayaran akhir tak dilakukan.
ARTIKEL BERKAITAN: Achey ditipu ketika urus niaga motosikal, pembeli ‘hilang dari radar’ selepas janji ‘swap’ RXZ dengan 2 buah X1R
ARTIKEL BERKAITAN: Tumpang aura anak, air mata Achey gugur beri ucapan ulang tahun Tiara
“Itu cara pihak pengurusan saya, bayaran tak buat, memang saya tak selesaikan kerja itu,” jelasnya.
Sementara itu, Achey turut berkongsi dia banyak belajar tentang selok-belok dunia hiburan termasuk hal pembayaran daripada beberapa nama besar dalam industri.
“Alhamdulillah saya banyak belajar daripada artis lama tentang hal pembayaran dan sebagainya.
“Antara orang yang mengajar saya ialah Datuk AC Mizal dan arwah Harun Salim Bachik,” ujarnya.
Arwah Harun banyak mencurahkan ilmu buat Achey.
Sebelum ini, beberapa selebriti seperti Amir Raja Lawak, Mamak Puteh, Ali Puteh dan Azizul Ammar tampil bersuara mengenai isu bayaran tertunggak yang belum dilunaskan.
Mereka meluahkan rasa kecewa terhadap sebuah stesen televisyen yang didakwa gagal membayar baki bayaran walaupun kerja telah diselesaikan sepenuhnya.
Luahan tersebut yang dikongsi menerusi media sosial telah mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan netizen dan penggiat seni, yang berharap agar isu ini diberi perhatian serius oleh pihak berwajib.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube