PENGLIBATAN dalam drama terbaharu berjudul Bad Cop memberi satu pengalaman berbeza buat pelakon Aiman Hakim Ridza.
Kata Aiman, 36, disebabkan terlalu mendalami watak yang diberikan dia mengalami masalah sukar tidur ketika awal memulakan penggambaran.
“Sepanjang 10 hari pertama di set, saya demam dan tidak boleh tidur kerana ada babak tertentu yang ‘terperangkap’ dalam fikiran saya. Ia betul-betul memberi kesan dalam jiwa saya.
Aiman memegang watak sebagai Emir dan Imar.
"Ada hari-hari tertentu saya terpaksa telan ubat batuk supaya dapat tidur, selepas mengetahui beberapa maklumat sebenar berkaitan kisah dalam drama ini.
“Saya tak dapat bayangkan bagaimana orang boleh melalui perkara sebegini kerana ia berdasarkan kisah benar seseorang," katanya kepada mStar.
Aiman berkongsi perkara itu ketika ditemui di set penggambaran drama bersiri Bad Cop yang berlangsung di Damansara pada petang Rabu.
ARTIKEL BERKAITAN: Fokus ‘renovation’ rumah, Aiman Hakim tolak tawaran lakonan enam bulan
ARTIKEL BERKAITAN: Lagi layan media sosial, lagi banyak merapu – Aiman Hakim kesal berita palsu sudah meninggal dunia
Dalam masa yang mencabar itu, Aiman berkata isterinya, pelakon Zahirah MacWilson, banyak memberikan sokongan moral untuk membantunya menangani tekanan emosi yang dialami.
Tambahnya terdapat beberapa kejadian yang dia seakan bercakap seorang diri walaupun sedang berbual di telefon bersama isteri.
“Dia banyak beri sokongan kepada saya, dia akan hubungi saya semasa tempoh ‘breakdown‘ hari itu.
Dah lama saya tak rasa pengalaman sebegini.
AIMAN HAKIM
PELAKON
“Ada ketika itu, saya sedang bercakap dengan dia sebenarnya di telefon tiba-tiba saya bercakap seorang diri seperti sedang berlakon kerana terlalu terbawa dengan senario.
“Saya tak sedar masih bercakap dengannya, tapi dia beri sokongan moral dan sedikit sebanyak membantu saya untuk lebih tenang,” kongsinya.
Walaupun mencabar, pengalaman tersebut memberikan kepuasan tersendiri dalam dunia lakonan malah dia percaya setiap pelakon pasti menginginkan pengalaman sebegini sebagai sebahagian daripada proses mendalami watak.
Aiman membawa watak sebagai anggota polis.
Jelasnya lagi, keadaan kini lebih stabil dan dia sudah berjaya menyesuaikan diri dengan watak yang dibawa.
“Saya bukan overthinking, ini perkara normal sebagai seorang pelakon. Kami seperti span bila disimbah air, semakin berat. Tapi ada hari saya tak sempat ‘perah’, jadi terus ‘breakdown‘.
“Dah lama saya tak rasa pengalaman sebegini, dan sebagai pelakon, saya suka proses itu,” ujarnya.
Aiman dan Siti Saleha berperanan sebagai watak utama dalam Bad Cop.
Bad Cop, arahan Jason Chong, merupakan adaptasi daripada siri popular Jerman tahun 2017 yang membawa judul sama.
Siri ini menggabungkan elemen jenayah, psikologi dan isu sosial, dengan pendekatan satu kes untuk setiap episod.
Selain Aiman, Bad Cop turut dibintangi barisan pelakon lain termasuk Siti Saleha, Harvinth Skin, Razib Salimin, Tony Eusoff, Whulandary Herman, Melissa Campbell dan ramai lagi.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube