SENTIASA memberikan persembahan bertenaga, penyanyi Aina Abdul sekali lagi berjaya memuaskan hati peminat menerusi Konsert Imaji Tour yang berlangsung di Zepp, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Mengakui ia merupakan projek paling sukar dan mencabar untuk dilakukan sepanjang karier, Aina atau Nurul Aina Abdul Ghani, 31, yang tampil dengan tiga busana mendendangkan 20 buah karyanya dengan begitu baik sekali.
Bukan sahaja lagu yang terdapat di dalam album Imaji, Aina juga menyanyikan lagu hitnya iaitu Semalam, Cinta Tidak Pernah Tepat Waktu, Terus Hidup, Sepi dan Jangan Mati Rasa Itu.
Aina kongsi wajah comel haiwan peliharaannya.
Meskipun terdapat suara-suara sumbang mengenainya, namun Aina meluahkan rasa syukur kerana sokongan peminatnya yang berterusan.
“Saya sangat terharu dengan sokongan anda. Ini adalah album pertama saya. Zaman sekarang susah nak buat album tetapi sebagai ‘singer songwriter’ saya perlu ada album sendiri.
“Disebalik kecaman dan kata-kata yang saya dengar, saya juga manusia biasa yang dengar kata-kata sumbang namun bersyukur dengan sokongan peminat.
“Saya buat jelajah ini kerana mahu anda makan, mandi dan tidur dengan lagi dalam album saya,” kata Aina sejurus membuka pentas konsert dengan lagu pertama dalam albumnya iaitu Imaji.
ARTIKEL BERKAITAN: Fattah Amin hero dalam MV ‘Jadi Ajar Aku’, Aina Abdul tunai permintaan ibu – “Nasib baik mak tak minta menantu”
ARTIKEL BERKAITAN: Menang banyak anugerah bukan tiket Aina Abdul mudah dapat penaja, biaya sendiri konsert cecah belanja ratusan ribu
Lebih mendapat sorakan penonton apabila Aina turut membawa ‘anak’ iaitu dua ekor kucing diberi nama Hiro dan Susu sebelum memulakan segmen kedua.
Dedah penyanyi itu, dia pada awalnya sangat takut akan kucing namun akhirnya berjaya mengatasinya dan menganggap ia satu pencapaian paling besar dalam hidupnya.
“Siapa mengenali saya, mesti tahu saya sangat takut dengan kucing. Ini pencapaian terbesar saya apabila dapat atasinya.
Saya akan berehat dari konsert solo, 2025 tahun untuk mengembara dengan diri saya.
AINA ABDUL
PENYANYI
“Mereka dua ini nampak kecil, tetapi dua makhluk ini yang mengubah kehidupan saya. Mereka sentiasa tunggu saya di rumah. Sekarang ini saya sedang mencari yang ketiga,” selorohnya.
Di segmen ketiga pula, Aina mengenakan busana serba putih hasil rekaan Wan & Mary.
Selingan antara lagu Sesal dan Kamu, Aina sempat membuat peminat berasa sedih apabila mengumumkan dia tidak akan melakukan konsert solo pada 2025.
Aina mahu berehat pada tahun 2025.
Ini kerana penyanyi Puas Sudah itu berkata dia mahu memberikan fokus kepada pembikinan lagu selain kolaborasi bersama penyanyi lain sama ada dalam dan luar negara.
“Saya akan berehat dari konsert solo, 2025 tahun untuk mengembara dengan diri saya, saya akan berkolaborasi dengan artis. Harapannya banyak di dalam dan luar Malaysia,” ujarnya.
Untuk info, Aina Abdul Imaji Tour berlangsung di tiga lokasi berbeza iaitu Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di Sarawak, Zepp, Kuala Lumpur dan Universiti Utara Malaysia (UUM), Kedah.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!