RSS Suria

Air mata Black Hanifah tumpah ketika konsert, bukti masih berbisa selepas 17 tahun

HAMPIR dua dekad berkecimpung dalam dunia seni, penyanyi Black Hanifah akhirnya menghadiahkan sebuah konsert solo istimewa sebagai tanda penghargaan buat peminat yang tidak pernah putus menyokongnya.

Konsert diberi nama Exclusive Night Nyawa Black Hanifah yang berlangsung di Setia City Convention Centre kelmarin berlangsung dalam suasana penuh emosi dan kenangan.

Menariknya, ‘nyawa’ bukan sekadar tajuk konsert, tetapi membawa makna mendalam buat Black atau nama sebenarnya Hanifah Muhammad Hanafiah, 38, sebagai simbol kepada setiap detik perjuangannya selama 17 tahun dalam dunia seni.

Konsert Exclusive Night Nyawa Black Hanifah berlangsung dalam suasana penuh emosi dan kenangan.

Malam penuh magis itu dimulakan dengan rangkaian lagu-lagu cinta malar segar yang menaikkan nama Black termasuk Mana Mungkin, Takkan Terpisah, Anugerah Terindah, Sabar dan Hanyut.

Black turut membawa penonton mengimbau kembali waktu awal kemunculannya apabila menyanyikan lagu-lagu yang sering dibawa untuk mengasah vokal serta ketika menghadiri sesi uji bakat Mentor.

Antaranya termasuk Hanya Satu Persinggahan nyanyian asal kumpulan Iklim dan Lagu Untukmu (Meet Uncle Hussain) yang menjadi lagu pertama dibawakan ketika menghadiri uji bakat Mentor pada 2009.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Black Hanifah kena ‘scam’, dakwa individu lari daripada tanggungjawab urus konsert

ARTIKEL BERKAITAN: 17 tahun bergelar penyanyi, Black Hanifah tak pernah ambil cuti sakit

Namun detik paling menyentuh hati apabila Black menyampaikan lagu Salam Terakhir nyanyian asal Allahyarham Datuk Sudirman Arshad sebelum air matanya tumpah di pentas.

"Sebelum saya nak buat keputusan untuk adakan konsert ini saya takut dan risau jika tidak ramai yang datang menyaksikan persembahan saya.

“Tambah pula ini adalah konsert solo pertama saya. Terima kasih kepada semua yang hadir. Tanpa kalian semua, saya tak mampu berdiri di sini serta tak mampu untuk rasa jadi seorang penyanyi yang terbaik yang ada di Malaysia. Ini adalah impian saya sejak kecil,” katanya.

Black meraikan ‘anak syurga’ yang menghidap sindrom down pada konsert solo pertamanya.

Pada konsert itu, Black turut berkongsi kisah perit apabila berdepan masalah kesihatan tiga tahun lalu apabila disahkan mengalami ketumbuhan pada tekak sehingga hampir kehilangan suara sepenuhnya.

"Saya sangka tidak akan dapat menyanyi semula, tapi Alhamdulillah hari ini saya dapat menyanyi seperti dulu. Terima kasih kepada doktor yang merawat saya,”katanya.

Istimewanya mengenai konsert itu, Black turut meraikan insan-isan istimewa yang menghidap sindrom down dari Persatuan Bunga-bunga Syurga untuk turut sama-sama berhibur pada konsert itu.

Malah Black turut mengundang salah seorang anak syurga ini dikenali LUQPADU untuk menyampaikan lagu Hijab Rindu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Scroll to Top