SHOWCASE hari pertama An Evening To Remember With Ayu, Idayu dan Alyah berjaya menghiburkan lebih 200 peminat di Park Inn by Radisson Putrajaya, Kajang, Selangor pada malam Sabtu.
Menurut penyanyi Datin Alyah, ketiga-tiga mereka hampir berputus asa pada awalnya kerana terdapat masalah yang tidak dapat dielakkan, namun sokongan orang ramai berjaya membuatkan mereka bangkit dan meneruskan acara itu dengan jayanya.
Malah kata Alyah atau Noor Hasliah Abu Hasan, 44, sokongan itu membuatkan mereka terharu dan berazam untuk memberikan yang terbaik pada dua malam showcase berkenaan.
Alyah terharu dengan sokongan peminat.
“Kami sebenarnya hampir putus asa pada awalnya sebab biasalah dalam sesuatu acara itu pasti ada beberapa masalah yang tak dapat dielakkan.
“Tapi berkat sokongan keluarga, rakan-rakan serta peminat menguatkan lagi semangat kami untuk kembali bangkit,” katanya kepada mStar.
Alyah berkongsi perkara itu ketika ditemui usai malam pertama showcase An Evening To Remember With Ayu, Idayu dan Alyah.
ARTIKEL BERKAITAN: Tak serik sertai pertandingan, Idayu cuba nasib sanggup uji bakat sampai Indonesia
ARTIKEL BERKAITAN: Sasar gelaran Doktor Falsafah, Ayu Damit mahu jalani hidup lebih tenang pada usia 45 tahun
Bercerita lanjut, kata Alyah, dia tidak sangka ada dalam kalangan penonton yang sanggup datang dari Singapura untuk menyaksikan persembahan mereka.
Tidak hanya itu, terdapat juga peminat yang membeli tiket untuk dua malam berturut-turut demi menyokong artis kesayangan mereka.
“Saya terkejut apabila dapat tahu ada peminat dari Singapura yang sanggup turun ke sini untuk saksikan persembahan kami.
Ayu (dari kiri), Idayu dan Alyah ketika membuat persembahan bersama.
“Bukan tu sahaja, ada juga yang membeli tiket untuk dua malam berturut-turut,"jelasnya.
Sementara itu, Ayu atau Norayu Damit, 36, berkata, showcase yang dilakukan ini merupakan satu permulaan buat ketiga-tiga mereka sebelum membuat persembahan berskala lebih besar di masa hadapan.
“Saya rasa ini adalah permulaan yang baik buat kami bertiga sebelum lakukan acara yang lebih besar selepas ini,” ujarnya.
Rakan selebriti turut hadir pada showcase berkenaan bagi memberi sokongan, antaranya Datuk Nora, Ezlynn dan Siti Hajar Ismail.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube