RSS Suria

Amerul Affendi lega luahan didengari, bimbang tayangan ‘6 Jilake’ ditarik

PELAKON Amerul Affendi menarik nafas lega apabila luahan hatinya mengenai tayangan filem 6 Jilake didengari pihak pawagam.

Amerul atau Mohd Amerul Affendi Mohd Mawardi, 38, berkata dia bertindak berani selepas kecewa filem lakonannya itu ditarik waktu tayangan pada 1 Mei lalu.

“Pada 1 Mei lalu saya kecewa, tapi sekarang sudah tidak. Saya ucapkan terima kasih kepada pawagam kerana memahami penonton kita.

Amerul hanya suarakan rasa tidak puas hati.

“Suara didengari, berkat sokongan daripada penonton juga,” katanya kepada mStar.

Amerul berkongsi perkara itu ketika ditemui di Sesi Ramah Mesra pelakon Bru & Soft di Bangsar yang berlangsung pada malam Isnin.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Amerul berkata awalnya dia kesal apabila pihak pawagam hanya memikirkan keuntungan sehingga menarik tayangan 6 Jilake yang sepatutnya ditayangkan selama dua minggu.

Dia juga percaya filem berkenaan akan menerima tontonan ramai sekiranya ditayangkan pada cuti umum sekali gus membuatkan 6 Jilake menjadi ‘hit’.

ARTIKEL BERKAITAN:Lakonan bakal jadi hobi, Amerul Affendi sasar bergelar pensyarah dalam tempoh setahun

ARTIKEL BERKAITAN:Amerul Affendi mahu jadi pensyarah, sambung belajar di UPSI

“Filem kita ini masuk dalam Skim Wajib Tayang, jadi panggung wayang harus menayangkan filem selama dua minggu. Tapi, sayangnya bila perkara ini tidak dijaga dengan betul.

“Panggung ini mungkin sesuka hati sahaja tarik tayangan bila minggu pertama itu kurang sambutan. Apa yang membuatkan saya bersuara mengenai perkara ini sebab pada 1 Mei lalu saya percaya pasti ramai yang akan pergi menonton.

“Namun, tayangan sudah tak banyak, sedangkan ada pawagam yang sudah tak tayangkan lagi. Ini jadi masalah dan tak boleh nak ‘hit’ pada minggu kedua,” katanya lagi.

Pawagam akhirnya buka sehingga hujung minggu.

AMERUL AFFENDI

PELAKON

Pun begitu, Amerul bersyukur apabila pihak pawagam mendengar dan kini peminatnya boleh menonton filem berkenaan di pawagam.

“Bagaimanapun, saya tak boleh salahkan mereka sebab ini adalah perniagaan, kita faham. Bila bercakap mengenai perkara ini, mereka (pawagam) mula buka mata dan lihat sendiri penonton mahu ke pawagam dengan keluarga masing-masing.

“Pawagam beritahu, mereka akan buka kembali tayangan bila ramai yang mahu tonton. Alhamdulillah terbukti, ramai yang datang untuk menonton. Pawagam akhirnya buka sehingga hujung minggu,” tambahnya.

Amerul syukur filem dapat sokongan peminat.

Sebelum ini, Amerul meluahkan rasa kesal di media sosial apabila pihak pawagam menghentikan tayangan 6 Jilake.

Amerul juga mempersoalkan promosi filem tersebut yang didakwa kurang berbanding filem lain.

6 Jilake merupakan filem arahan Aziz M. Osman yang mula ditayangkan pada 24 April lalu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Scroll to Top