RSS Suria

Anak Kmy Kmo dijangkiti ‘chicken pox’ kali kedua, terpaksa ambil air tulang belakang

PENYANYI rap Kmy Kmo memaklumkan anak sulungnya, Abdul Jabbar Rakeem dimasukkan ke sebuah pusat perbuatan selepas dijangkiti cacar air buat kali kedua.

Kmy atau Lukmanul Hakim, 36, berkata Jabbar, 7, sudah menerima rawatan di hospital sejak Isnin lalu selepas keadaan kesihatannya dilihat membimbangkan sehingga terpaksa melakukan prosedur Lumbar Puncture (LP).

Dia bagaimanapun bersyukur apabila keputusan ujian LP disahkan negatif.

Serangan cacar air kali kedua yang dialami Jabbar lebih teruk.

“Awalnya doktor syak anak saya mengalami radang dan kuman di bahagian otak sehingga dia perlu melalui prosedur LP.

“Selepas mengambil sampel cecair daripada tulang belakang dan dihantar ke makmal doktor maklumkan keputusan negatif.

“Alhamdulillah semuanya baik, cuma ada kuman kecil yang menyebabkan suhu badan Jabbar susah untuk turun ke paras normal,” katanya ketika dihubungi mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas 7 tahun ‘peram’ akhirnya Kmy Kmo tampil lagu solo, luah perasaan dalam 21A

ARTIKEL BERKAITAN: Kmy Kmo dan Luca Sickta sahut cabaran gubah lagu patriotik, ‘Rahsia Petua’ gabung penyanyi pelbagai kaum dan etnik

Menurut Kmy, sebelum ini anak keduanya iaitu Abdul Akbar Naseem terlebih dahulu dijangkiti cacar air di sekolah tadika namun tidak serius seperti abangnya.

Dia juga kesal terdapat ibu bapa yang tidak bertanggungjawab menghantar anak mereka yang dijangkiti virus itu ke sekolah untuk keluar berkerja.

“Jabbar dijangkiti ‘chicken pox’ daripada adiknya. Dia dapat virus ini daripada sekolah tadika hingga bawa ke rumah.

Jabbar perlu dirawat di hospital sehingga benar-benar pulih.

“Bagi saya ibu bapa yang sanggup menghantar anak dalam fasa aktif ‘chicken pox’ ke sekolah sangat tidak bertanggungjawab. Anak saya salah seorang yang menjadi mangsa,” luahnya.

Dalam pada itu, Kmy turut mengingatkan ibu bapa supaya peka dan mengawasi anak-anak kerana jangkitan virus itu boleh berlaku berulang kali.

Sebelum ini, Kmy berkongsi badan anaknya yang dipenuhi bintik-bintik merah dan sedang terbaring di katil hospital di Instagram miliknya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Scroll to Top