RSS Suria

Aura ‘Biduanita Negara’ tambat hati Raja Charles III, Hael Husaini berterima kasih kepada Siti Nurhaliza

TIDAK menyangka karyanya menjadi salah satu pilihan Raja Britian, penyanyi Hael Husaini lebih terkejut apabila Raja Charles III dapat memahami lirik Anta Permana dengan baik walaupun dalam bahasa Melayu.

Hael atau Hal Husaini Razmi, 37, bagaimanapun percaya Raja Charles III mula jatuh cinta dengan karyanya selepas ia diterjemahkan ke bahasa Inggeris.

“Saya terkejut tetapi saya sendiri kadang-kadang banyak dengar lagu-lagu pelbagai bahasa. Konsepnya sama sahaja.

Raja Charles III faham maksud lagu Anta Permana.

“Bila orang luar dengar dan berminat dengan sesuatu karya pasti mereka juga akan mencari maksud di sebalik lirik.

“Mungkin Raja Charles III minat dengan lirik lagu itu yang membawa maksud cinta tiada penghujungnya,” katanya kepada mStar.

Mengimbau kembali momen dirinya menerima khabar gembira itu, Hael berkata dia seakan tidak percaya apabila Datuk Seri Siti Nurhaliza menandai dirinya di Instagram.

Malah dia juga percaya ini adalah salah satu peluang karya Malaysia mencipta kejayaan di luar negara.

ARTIKEL BERKAITAN:Hael Husaini bijak ‘cover’ terjatuh, Hafiz Suip pula terkucil… Ini 10 momen menarik sepanjang AJL39

ARTIKEL BERKAITAN:‘Anta Permana’ jadi pilihan Raja Charles III, Siti Nurhaliza ingat kena tipu

“Terkejut apabila dapat tahu berita apabila Datuk Seri Siti Nurhaliza yang tagged (menandai) saya dalam Instagram, sampai macam ini impaknya.

“Ini boleh jadi titik permulaan dimana lagu Malaysia jangan dipandang enteng. Sebenarnya kita ada peluang memperbesarkan karya kita di persada dunia.

“Alhamdulillah, Siti kongsi rezeki dengan saya dan Ezra Kong selaku penggubah bersama lagu ini. Terima kasih,” ujarnya.

Pun begitu, Hael yakin aura dibawa Biduanita Negara selaku penyanyi Anta Pernama menjadi penyebab karya itu berjaya menambat hati Raja Britian berkenaan.

Tanpa Siti kami tidak sampai situ.

HAEL HUSAINI

PENYANYI/KOMPOSER

“Saya percaya tetapi nak kesahihan terpaksa buka Apple Music sebab nak rasa penangan. Bila dia sebut nama Siti, Ya Allah bangganya sebagai rakyat Malaysia.

“Sebenarnya yang sebaris penyanyi antarabangsa ialah Siti. Kami di belakang hanya sebagai pendukung.

“Lagu itu sendiri rasa hasil kerjasama kami. Tanpa Siti kami tidak sampai situ,” jelasnya.

Pada 11 Mac lalu, Siti memuat naik hantaran di laman Instagram mengucapkan penghargaan atas pemilihan lagu Anta Permana dalam senarai lagu pilihan Raja Charles III.

Hael mahu terus hasilkan karya hebat.

Luah Siti, dia bersyukur dan tidak menyangka karya tersebut mendapat perhatian golongan Diraja negara berkenaan.

Lagu Anta Pemana menjadi salah satu daripada muzik pilihan Raja Charles III sempena sambutan Hari Negara-Negara Komanwel.

Senarai lagu tersebut telah dikumpulkan menerusi platform Apple Music dengan tajuk His Majesty King Charles III’s Playlist.

Selain Siti, antara artis antarabangsa lain yang berada dalam senarai itu ialah Raye, legenda muzik Grace Jones, ikon reggae Bob Marley, serta diva pop Diana Ross.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Scroll to Top