RSS Suria

Bapa tak mampu bayar bil hospital… Jenazah bayi lahir tak cukup sifat ‘beku’ 2 minggu, terpaksa dilembutkan guna air panas sebelum kebumi

LULUH hati pasangan suami isteri ini apabila cahaya mata yang lama dinanti-nantikan meninggal dunia beberapa minit selepas dilahirkan.

Lebih memilukan jenazah bayi lelaki itu terpaksa disimpan di dalam peti sejuk beku selama dua minggu gara-gara ibu bapanya tidak mampu membayar kos kelahiran di sebuah hospital swasta.

Perkara itu didedahkan oleh Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) yang dikenali sebagai Wan Cai di laman sosial.

Wan Cai berkata, bayi itu meninggal dunia selepas 30 minit dilahirkan dengan keadaannya tidak cukup sifat iaitu hanya mempunyai satu mata, tiada hidung dan tiada saluran lubang najis.

Jenazah bayi perlu dilembutkan untuk urusan pengebumian.

Namun dia mendakwa pihaknya menghadapi masalah sewaktu hendak menguruskan jenazah bayi malang itu.

“Hancur luluh apabila melihat jenazah anak tanpa dosa ini 100 peratus beku! Bayangkan bayi yang sudah meninggal dunia pada 24 November lalu, ditahan selama dua minggu dan diletakkan di dalam peti sejuk.

“Perkara ini berlaku asbab si ayah tidak mampu membayar bil bagi caj kelahiran anaknya di sebuah hospital swasta,” dakwanya menerusi beberapa siri hantaran di Facebook.

Menurut Wan Cai, mereka terpaksa menggunakan air panas yang dicampur dengan air paip bagi melembutkan tubuh dan sendi-sendi jenazah bayi berkenaan.

Selain jenazah bayi disimpan dalam peti sejuk beku, dia turut mendakwa ibunya juga tidak dibenarkan keluar dari wad hospital itu selagi belum melunaskan bayaran bil.

“Sehinggalah bil dibayar oleh si ayah pada pukul 11 pagi tadi (Isnin),” ujarnya lagi.

Jenazah bayi dikafankan untuk dikebumikan.

Difahamkan, bil yang sepatutnya dibayar kepada pihak hospital berjumlah kira-kira RM3,600.

Wan Cai bagaimanapun tidak mendedahkan negeri dan nama hospital, tempat berlakunya kes yang didakwanya ini.

“Dah tahan ibu sebagai jaminan sepatutnya pihak hospital serahkan jasad bayi pada ayahnya untuk diuruskan dan dikebumikan,” katanya.

Mengulas lanjut, Wan Cai dimaklumkan bahawa ibu malang itu mengadu sakit sebelum dihantar oleh jiran ke sebuah hospital swasta.

“Ketika kejadian suaminya sedang bekerja dan bergegas ke hospital selepas dimaklumkan tentang keadaan isterinya,” katanya.

Jenazah bayi tersebut akhirnya selamat dikebumikan di sebuah tanah perkuburan di Selangor, pada Isnin.

Jenazah bayi selamat dikebumikan selepas dua minggu meninggal dunia.

Menurut Wan Cai, jenazah bayi itu diuruskan menggunakan hasil sumbangan orang ramai kepada pihak pengurusan jenazah berkenaan.

“Alhamdulillah kos liang lahad untuk ‘anak syurga’ ini dibayar menggunakan dana hasil infaq anda,” katanya lagi.

Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi yang dibuat daripada pihak hospital berhubung dakwaan berkenaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Scroll to Top