PENGANJUR Konsert Intifada Rabbani, Universe Gateway memberi jaminan segala kelemahan yang berlaku ketika penganjuran Journey Of Sound: Judika & Siti Nurhaliza tahun lalu tidak akan berulang.
Timbalan Pengerusinya, Zambri Mohd Isa berkata, pihaknya telah menambah baik sistem pengurusan dan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) lebih tersusun bagi memastikan kelancaran acara.
"Kami sedar tentang kegusaran peminat selepas insiden konsert terdahulu. Namun saya ingin tegaskan, perkara itu telah diselesaikan.
"Insya-Allah untuk konsert Intifada Rabbani ini, pelbagai penambahbaikan telah dibuat. Kami tidak janji 100 peratus sempurna, tetapi akan berusaha meminimumkan sebarang kesilapan.
Zambri menambah baik sistem pengurusan dan menyediakan SOP lebih tersusun.
"Rabbani sendiri sudah dimaklumkan mengenai isu lalu dan mereka bersetuju dengan SOP yang ditetapkan. Kali ini, konsert diadakan di lokasi tertutup, jadi kami yakin isu seperti sebelum ini dapat dielakkan," katanya kepada mStar.
Zambri berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media konsert Intifada Rabbani yang diadakan di Ruema Cafe & Event, Cheras, Kuala Lumpur pada petang Isnin.
Berkongsi lanjut, kata Zambri, pihaknya juga telah menyelesaikan isu pampasan kepada penonton yang terjejas sebelum ini.
"Beberapa individu ada menghubungi dan pihak kami telah memulangkan sejumlah wang kepada mereka sebagai tanda tanggungjawab.
ARTIKEL BERKAITAN: "Ini mungkin yang pertama dan terakhir"- Rabbani bikin konsert sempena 25 tahun penglibatan dalam industri muzik
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Anggota kumpulan Rabbani mengaku pernah sertai Al-Arqam, berpecah selepas diharamkan
"Kami tidak pernah lari dan mengambil sepenuhnya tanggungjawab atas apa yang berlaku," jelasnya.
Sementara itu, anggota kumpulan Rabbani, Azadan Abdul Aziz berkata pihaknya meletakkan syarat jelas kepada penganjur sebelum bersetuju terlibat dalam konsert ini.
"Kami tahu tentang isu yang melibatkan syarikat ini, tetapi tidak mahu fikir tentang perkara lalu.
Kami sedar tentang kegusaran peminat selepas insiden konsert terdahulu, saya ingin tegaskan, perkara itu telah diselesaikan.
ZAMBRI MOHD ISA
TIMBALAN PENGERUSI UNIVERSE GETAWAY
"Bagi menjaga nama baik kumpulan Rabbani dan mengelak masalah di kemudian hari, kami nyatakan beberapa syarat.
"Antaranya, penganjur perlu ada perancangan alternatif sekiranya jualan tiket tidak memberangsangkan.
"Bagi kami, konsert yang baik bukan hanya bergantung pada nama besar, tetapi sistem pengurusan yang teratur," katanya.
Sebelum ini, Universe Gateway berdepan kontroversi apabila konsert Journey Of Sound: Judika & Siti Nurhaliza mendapat aduan daripada penonton berhubung masalah pengurusan tempat duduk.
Rabbani ketika ditemui di sesi sidang media pada Isnin.
Antara isu yang dibangkitkan termasuk susunan tempat duduk tidak sistematik sehingga menimbulkan kekecohan.
Malah, ada pemegang tiket VIP didakwa terpaksa duduk di zon harga lebih rendah akibat kecuaian penganjur.
Dalam perkembangan lain, Konsert Intifada Rabbani dijadualkan berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya pada 20 September depan.
Tiket akan mula dijual pada 31 Julai ini menerusi platform Ticket2u dan Fantopia.io.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube