RSS Suria

Bront Palarae syukur tiada tawaran babak panas, sedar diri bukan dalam kelompok pelakon seksi

BANYAK menerima tawaran berlakon di luar negara, aktor Bront Palarae bersyukur tidak pernah diberi watak yang memerlukan dia melakukan babak panas.

Kata Bront atau Nasrul Suhaimin Saifuddin, 46, dia yakin rupa paras seseorang pelakon memainkan peranan penting dalam pemilihan watak, terutamanya babak-babak berunsur sensual.

"Saya rasa bernasib baik kerana mereka tak pernah nampak saya sebagai seksi. Lainlah kalau saya ini hero Malaya yang berbadan sasa…bila buka baju nampak seksi, mungkin ada tawaran sebegitu.

Bront seronok berkarya di pelbagai negara.

"Tapi saya bukan dalam kategori itu. Saya duduk dalam kelompok yang biasa-biasa saja. Kalau berada dalam posisi tersebut, mungkin lebih sukar," katanya kepada mStar.

Menurut Bront, banyak perkara perlu dipertimbangkan sekiranya menerima tawaran adegan panas memandangkan statusnya kini sebagai seorang suami dan bapa.

Bagaimanapun, Bront tidak menolak sebarang kemungkinan pada masa hadapan dan enggan membuat kenyataan tegas mengenai perkara yang belum berlaku.

ARTIKEL BERKAITAN: Bront Palarae tumpaskan nama besar Thailand, menang trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Anugerah Baannang Klang Lakorn ke-21

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Sumpahan Jerunei’ buat Bront Palarae tak fikir panjang, genre seram tapi sarat adat dan budaya

"Kalau zaman bujang dulu, batasannya lain. Ibu bapa pun senang untuk dipujuk. Tapi sekarang, bila sudah beristeri, banyak perkara perlu difikirkan, termasuk pandangan keluarga mentua.

"Kena juga fikir tentang anak. Bukan bermaksud saya terlalu berhati-hati, cuma saya lebih memikirkan kesan dan akibat yang perlu saya tanggung nanti,” luahnya.

Dalam perkembangan lain, Bront turut terlibat dalam pembikinan siri My Stupid Boss: The Animated Series, yang diadaptasi daripada filem hit box office My Stupid Boss terbitan tahun 2016.

Barisan pelakon yang terlibat dalam My Stupid Boss: The Animated Series.

Siri 13 episod ini mula ditayangkan secara eksklusif di Malaysia menerusi platform penstriman Vidio.

My Stupid Boss: The Animated Series menyajikan peristiwa-peristiwa lucu kehidupan pejabat yang huru-hara, semuanya hasil telatah yang tidak dapat diramalkan oleh watak bernama Bossman.

Selain Bront, pelakon lain yang turut terlibat adalah Reza Rahadian, Bunga Citra Lestari, Chew Kin Wah, Datin Atikah Suhaime, dan Iskandar Zulkarnain.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Scroll to Top