PELAKON Bront Palarae mengharumkan nama negara selepas muncul sebagai pemenang trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Anugerah Baannang Klang Lakorn ke-21 di Thailand.
Bront atau Nasrul Suhaimin Saifuddin, 47, memenangi kategori tersebut menerusi lakonannya sebagai Heem dalam filem seram bertajuk The Cursed Land.
Bersyukur atas pengiktirafan diterima, Bront menyifatkan pencapaian tersebut sebagai luar biasa kerana tidak pernah terfikir akan memenangi anugerah berkenaan.
Lakonan Bront mendapat pengiktirafan di Thailand.
“Alhamdulillah! Berlakon dalam filem Thailand terasa seperti mimpi yang jauh dan apabila menerima pengiktirafan sebegini ia sangat gila.
“Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik daripada Anugerah Baan Nang Klag Lakorn ke-21 (Thailand),” katanya.
Bront meluahkan rasa gembira itu menerusi hantaran di Instagram miliknya pada Sabtu.
Dalam pada itu, Bront mengucapkan terima kasih kepada pasukan produksi yang berusaha keras dalam menerbitkan filem berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN:‘Sumpahan Jerunei’ buat Bront Palarae tak fikir panjang, genre seram tapi sarat adat dan budaya
ARTIKEL BERKAITAN:‘Stone Turtle’ filem bahasa Melayu pertama bertanding di Locarno, Bront Palarae pula calon pelakon terbaik
Tambah Bront, ini membuktikan perkara mustahil juga boleh dikecapi dengan kerja keras.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan The Cursed Land dari lubuk hati saya.
“Kerja keras anda semua menjadikan semua ini tidak mustahil untuk dikecapi,” ujarnya.
Bront ketika memainkan karakterHeem dalam filem seram The Cursed Land.
Bront menewaskan lima calon lain iaitu Benjamin Varney (In Youth We Trust), Bhumipat Thavornsiri (In Youth We Trust) Wanarat Ratsameerat (Taklee Genesis), Sanya Kunakorn (How to Make Millions Before Grandma Dies), dan Pongsatorn Jongwilas (How to Make Millions Before Grandma Dies).
Selain Pelakon Pembantu Terbaik, filem The Cursed Land turut tercalon dalam tiga kategori lain iaitu Visual, Pelakon Lelaki, dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.
Anugerah Baannang Klang Lakorn merupakan anugerah berprestij yang memberi pengiktirafan kepada karya televisyen serta platform penstriman di Thailand yang cemerlang sepanjang tahun 2024.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!