RSS Suria

Bukan mudah jadi bapa tunggal, ada ketika Idzham Ismail ‘burnout’

SELEPAS enam bulan bercerai, pelakon Idzham Ismail masih cuba membiasakan diri memegang gelaran bapa tunggal menguruskan dua orang cahaya matanya.

Kata Idzham atau Muhammad Idzham Ismail, 37, gelaran itu bukan mudah dan perlu bijak membahagikan masa bagi memastikan semua keperluan dua orang anaknya mencukupi.

Bahkan dia akui ada ketika mengalami ‘burn out’ dek kerana terlalu banyak berfikir demi melakukan yang terbaik.

“Lapan tahun uruskan bersama (bekas isteri) dan kini semuanya saya buat sendiri. Bukan mudah nak uruskan semuanya. Saya masih membiasakan diri sebagai bapa tunggal.

Luahan Idzham di Thread.

“Memang penat, dahulu boleh bekerja tanpa kira masa, sekarang apabila keluar kena fikirkan anak-anak.

“Jangan tengok seseorang itu tenang seperti tiada alami ‘burn out’. Apabila berlaku ada ketika saya sendiri tak boleh nak uruskan,” katanya ketika dihubungi mStar.

Idzham sebelum itu berkongsi luahan sama di media sosial tentang kerisauan terhadap diri sendiri dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang bapa.

ARTIKEL BERKAITAN:Idzham Ismail tak halang bekas isteri jumpa anak-anak

ARTIKEL BERKAITAN:Idzham Ismail sukar cari pengganti, bekas isteri dah letak standard terlalu tinggi

Dia bagaimanapun tidak mahu menganggap penceraian dengan bekas isteri iaitu Siti Nur Abilah Shamsudin sebagai alasan berlaku perkara ini.

Baginya Abilah juga sudah menjalankan peranan membesarkan anak-anak mereka dengan sempurna.

“Bekas isteri akan ambil anak apabila dia bercuti. Setiap minggu sekurang-kurangnya dua atau tiga hari dia akan bersama anak-anak.

Saya masih membiasakan diri sebagai bapa tunggal

IDZHAM ISMAIL

PELAKON

“Walau apa pun yang berlaku, saya tak mahu anak-anak hilang ibu mereka. Saya amat tekankan perkara itu dan sudah berbincang tentang hal penjagaan anak,” ujarnya.

Di sebalik kesukaran dilalui, Idzham ada cara tersendiri untuk melepaskan tekanan buat seketika.

Malah dia juga percaya segalanya akan menjadi lebih baik di masa akan datang.

Berkuda cara Idzham hilangkan tekanan.

“Biasanya saya akan ambil masa melakukan aktiviti berkuda. Dapat dua atau tiga jam sudah cukup.

“Harap semua akan lebih baik selepas ini. Mungkin saya boleh cari pembantu untuk uruskan hal di rumah,” jelasnya.

Untuk rekod Idzham dan Abilah berkahwin pada Ogos 2016 namun sah bercerai pada 4 November tahun lalu.

Mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Nur Sofea Inara, 8, dan Muhammad Idrus, 5 tahun.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Scroll to Top