RSS Suria

Bunga Citra Lestari dalam diam peminat Jaclyn Victor, kagum sejak zaman Malaysian Idol

SELEBRITI Indonesia, Bunga Citra Lestari menyifatkan Jaclyn Victor antara penyanyi yang mempunyai vokal terhebat di Asia.

Bunga atau lebih dikenali sebagai BCL, 42, berkata, dia meminati Jaclyn sejak penyanyi berkenaan menyertai program realiti Malaysian Idol pada 2004.

“Sejujurnya saya adalah peminat Jac, sewaktu dia mula menyanyi di acara ini saya hampir menangis. Dia memiliki suara yang sangat hebat dan lunak.

Bunga mengakui meminati Jac sejak penyanyi itu menyertai Malaysian Idol.

“Saya mengenalinya sejak program Malaysian Idol. Saya rasa Jac antara penyanyi terhebat di Asia, itu pendapat saya,” katanya kepada pemberita.

Dalam pada itu, Bunga memberitahu dia seakan-akan tidak percaya kerana bakal beraksi satu pentas dengan Jac yang menjadi penyanyi jemputan di Konsert BCL: Eternal Love- Timeless Romance pada September depan.

Kata Bunga, dia berharap konsert solonya itu dapat memberikan sebuah memori yang akan diingati oleh peminat di Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Bunga Citra Lestari bahagia ada tiga keluarga, syukur ibu bapa Ashraf Sinclair terima suami baharu

ARTIKEL BERKAITAN: Dah 2 bulan berambut pendek, netizen masih tak puas hati imej Bunga Citra Lestari

“Saya sangat bangga kerana bakal sepentas dengan Jac. Saya sebenarnya agak gementar kerana dikelilingi penyanyi hebat sepertinya.

“Saya harap konsert ini akan menyatukan Indonesia dan Malaysia selain memberikan hiburan yang menjadi ingatan buat peminat di sini,” ujarnya.

Dibawakan oleh Pulse Project Asia, konsert BCL: Eternal Love- Timeless Romance bakal berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 27 September depan.

Menurut wakil penganjur, Muhammad Nuar Zaini, penganjuran konsert ini adalah hadiah buat peminat untuk menikmati perjalanan muzik BCL menerusi seleksi lagu terbaik nyanyiannya.

“Penonton akan dibawa menyusuri perjalanan muzik BCL yang menyentuh melalui lagu-lagu cinta abadi, balada penuh makna dan penceritaan eksklusif,”katanya.

Bunga bakal menghiburkan peminat di Malaysia pada 27 September depan.

Seramai 300 pembeli tiket terawal berpeluang menikmati pas eksklusif untuk menyaksikan sesi latihan Bunga secara langsung sebelum konsert bermula.

Tiket boleh dibeli secara atas talian melalui Ticket2.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Scroll to Top