RSS Suria

Dah ada tongkat beroda ‘ligat’ ikut kakak, abang pergi beraya… Tangan tak perlu lagi pakai selipar

SEJAK mendapat bantuan tongkat beroda, kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) yang sebelum ini tular kerana terpaksa berjalan menggunakan empat anggota badan serentak kini semakin bersemangat untuk ke sekolah.

Dilahirkan tanpa lutut dan betis, murid prasekolah ini tidak perlu lagi menggunakan dua tangannya yang disarungkan selipar untuk berjalan.

Keceriaan jelas tergambar pada wajah Muhammad Shairid Hadif Ridhuan Shah, 5, apabila Hari Raya Aidilfitri tahun ini dapat disambut dengan lebih meriah.

Shairid menerima bantuan tongkat beroda.

Mana tidaknya, dengan kemudahan tongkat beroda sumbangan insan pemurah, Shairid dapat berhari raya dan melakukan aktiviti ziarahseperti kanak-kanak lain.

ARTIKEL BERKAITAN:Tangan pakai selipar, ramai sayu tengok semangat murid OKU ke sekolah! Ibu tak kisah apa kata orang, mahu anak berdikari

ARTIKEL BERKAITAN:Murid OKU terima 3 tongkat beroda, tangan dah tak perlu pakai selipar! Anak Felda syukur dapat bantu

Bercakap kepada mStar, ibu kanak-kanak OKU itu, Siti Azah Mohd Jinal berkata, anak bongsudaripada lima beradik itu sememangnya tidak sabar menunggu 1 Syawal kerana ingin pergi beraya.

“Shairid dari awal lagi dah beritahu dia nak ikut abang dan kakak dia pergi beraya. Sekarang dah ada tongkat beroda, senang dia nak berjalan sendiri tanpa perlu saya dukung atau guna stroller (kereta sorong bayi).

“Kami pergi rumah jiran-jiran dan kawan-kawan di sekitar sini,” ujarnya yang menetap di Felda Bukit Easter di Kota Tinggi, Johor.

Shairid tak sabar untuk menziarah rumah jiran-jiran dan kawan-kawan sempenaAidilfitri.

Bukan sekadar gembira menyambut Syawal, ibu tunggal itu memaklumkan anaknya itu juga menerima bantuan baju raya daripada beberapa hamba Allah yang baik hati.

“Alhamdulillah, kami dapat banyak sumbangan daripada orang ramai. Dari duit, barang dapur sehinggalah ke baju raya.

Sekarang dah ada tongkat beroda, senang dia nak berjalan sendiri tanpa perlu saya dukung atau guna stroller

SITI AZAH MOHD JINAL

IBU

“Shairid sendiri dapat tiga pasang baju Melayu. Orang beri saiz yang biasa, saya kemudian hantar ke kedai jahit untuk ‘repair’ pada bahagian kaki dan lengan,” ujarnya sambil menambah anak bongsunya itu menerima dua baju Melayu coklat dan sepasang warna hijau.

Menurut Siti Azah, apa yang lebih mengujakan adalah setiap kali keluarga ini menerima bungkusan atau parcel yang dihantar ke rumah.

Ibu tunggal lima anak ini bersyukur rezeki yang diberikan kepadanya hasil berniaga kuih.

“Setiap kali sampai parcel je, dia yang paling excited, beritahu dia punya barang. Alhamdulillah rezeki duit saya berniaga kuih, dapat beli kasut dan baju secara online untuk anak-anak yang lain.

“Terima kasih banyak kepada semua yang memberi sumbangan. Semoga dimurah rezeki, dipermudah urusan dan diberi kesihatan yang baik.

“Semoga kebaikan anda semua dapat membantu mereka yang lain, golongan yang memerlukan,” katanya sambil menambah Shairid menggemari ketupat dan kuah lodeh sebagai juadah pilihan Hari Raya.

Dalam pada itu, Siti Azah turut bersyukur kerana rezekinya bertambah apabila terdapat permintaan daripada pemilik kedai untuk menambah bekalan kuihnya seperti koleh kacang, popia sira dan puding jagung.

“Alhamdulillah, ada banyak permintaan. Saya buat mana yang termampu. Sekarang ni pun ada yang mahu buat tempahan untuk rumah terbuka Aidilfitri nanti.

“Saya buka tempahan pada yang berminat. Selain kuih-muih yang sedia ada, saya juga buat kuih gegetas,” katanya lagi.

Scroll to Top