RSS Suria

Datuk guna hak wali nak bolot harta! Minta duit KWSP, Perkeso arwah bapa sebelum setuju nikahkan cucu perempuan

PERNIKAHAN adalah momen indah yang paling ditunggu-tungu oleh setiap pasangan.

Namun, dalam menantikan saat bahagia untuk disatukan dengan insan tersayang, ada kalanya ia berdepan dengan cabaran yang besar, antaranya tidak mendapat kerjasama daripada wali.

Sebagaimana luahan seorang ibu di laman sosial, dia berkongsi kesulitan yang dihadapi anak perempuannya untuk bernikah gara-gara datuk yang sepatutnya menjadi wali mencetuskan ‘drama’ dan memberi syarat sebelum memikul amanah tersebut.

“Anak perempuan saya nak menikah tapi bapa kandung dia dah meninggal dunia tahun lepas. Nak dipendekkan cerita, wali jatuh kepada datuk iaitu bapa kepada bapa kandungnya.

“Sekarang yang menjadi isu, datuknya setuju nak buat wakalah wali tapi bersyarat.

“Datuknya minta duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perkeso arwah bapa kandungnya… barulah datuknya buat wakalah wali,” luah pelayar tersebut dalam satu laman grup Facebook.

wali 2

Setiap pasangan mengimpikan majlis perkahwinan mereka berjalan dengan lancar dan meninggalkan memori indah. -Gambar hiasan

Menurut pelayar tersebut, tindakan bapa kepada arwah suaminya itu benar-benar keterlaluan memandangkan urusan pembahagian harta sudah dilaksanakan mengikut hukum faraid.

“Anak-anak saya uruskan sendiri tanpa diberi kerjasama daripada pihak keluarga mentua saya termasuk nak dapatkan surat mati.

“Untuk pengetahuan, arwah suami saya meninggal di Sarawak sebab arwah orang sana. Dan anak-anak berada di semenanjung.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak kecewa bapa enggan jadi wali walau sihat, tak tinggal berjauhan… Sukar terima alasan diberikan

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa ‘gila duit’ buat kecoh, ugut enggan sign borang wali! Ubah perjanjian wang hantaran menjelang majlis nikah

“Anak saya dah cuba berbincang dengan cara baik dan merayu tapi mereka tetap nak duit walaupun itu hak anak-anak saya.

“Datuk mereka cakap transfer duit dulu baru dapat wakalah wali, sedangkan anak-anak saya langsung tak menuntut segala harta arwah bapa mereka di sana,” luahnya lagi.

Disebabkan ‘drama’ daripada keluarga mentuanya itu, anak perempuannya mengalami tekanan apatah lagi majlis pernikahan yang dirancang dijadualkan berlangsung pada hujung Februari nanti.

Tak ada sesiapa yang boleh gunakan hak sebagai wali untuk peras ugut bab harta. Islam tak pernah ajar macam tu.

NETIZEN

“Anak saya menjadi tertekan sebab tarikh majlis dah dekat dan semua dah dibayar.

“Boleh ke anak saya proceed untuk wali enggan, berapa lama prosedur untuk wali enggan, walaupun anak saya ada adik lelaki seibu sebapa. Dan apa cara lagi untuk permudahkan urusan anak saya?” luahnya meminta pandangan warga maya.

Menjengah ruangan komen, rata-rata warga maya menyarankan agar pelayar tersebut dan anak perempuannya tidak menuruti kemahuan keluarga arwah, sebaliknya meminta pandangan daripada pejabat agama.

komen atok

Sebahagian daripada komen warga maya terhadap perkongsian individu berkenaan.

“Dunia akhir zaman dah nampak sangat, dunia diutamakan. Untuk lebih jelas, rujuk dengan pejabat agama.

“Wali hakim saja. Jarak pun terlalu jauh juga dah melebihi marhalah. Boleh dapat excuse.

“Hanya kerana harta dan wang ringgit, ada sampai bermusuh. Tak ada sesiapa yang boleh gunakan hak sebagai wali untuk peras ugut bab harta. Islam tak pernah ajar macam tu,” demikian antara komen netizen.

Sebagai maklumat tambahan, memetik info daripada portal Mufti Wilayah, wali yang enggan untuk mengahwinkan warisnya tanpa ada alasan yang dibenarkan syarak biarpun selepas mendapat perintah mahkamah, maka wali hakim boleh menjadi wali kepada perempuan tersebut.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Scroll to Top