PELAKON Dharma Harun mempunyai alasan tersendiri apabila tidak mengizinkan dua anaknya berhenti belajar bagi menampung kehidupan mereka sekeluarga.
Dharma, 68, berkata dia berharap agar kedua-dua anaknya iaitu Siti Qurratu Aini, 37, dan Muhammad Al Syafiq, 36, memperoleh pekerjaan yang baik memandangkan mereka merupakan pelajar cemerlang di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).
Kata Dharma, dia bersyukur dengan kejayaan akademik yang diperoleh mereka dan akan sentiasa menjalankan tanggungjawab sebagai bapa dengan baik.
Dharma mahu anak-anak menerima pelajaran dengan baik.
"Anak-anak saya sekarang masih belajar di peringkat ijazah. Kalau anak saya tidak bagus, memang saya suruh berhenti saja.
“Tapi mereka cemerlang. Syafiq berjaya raih keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 sebanyak dua kali manakala anak perempuan saya pula mendapat antara 3.8 sehingga 3.9.
"Pensyarah pun kata mereka adalah ikon Aswara. Saya tak boleh bagi mereka berhenti dan minta cari kerja sebab sekarang ini mereka hanya mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Jadi kalau tiada ijazah, bagaimana?" katanya kepada mStar.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Dharma Harun tiada selera makan, hilang 40 kg dalam tempoh tiga bulan akibat tekanan hidup
ARTIKEL BERKAITAN: DJ Dave sedih lihat keadaan Dharma Harun, YKAT sumbang RM1,000 untuk beli makanan berkhasiat
Dalam pada itu, Dharma memaklumkan tenaga pengajar di Aswara turut melihat potensi yang dimiliki oleh Syafiq dan Qurratu.
Tambahnya lagi, sebelum ini dia juga tidak mempunyai masalah kewangan dan mampu membiayai pengajian mereka untuk melanjutkan pelajaran.
"Semua pensyarah di Aswara sayangkan anak saya dan mereka kata sebaik anak-anak saya tamat ‘degree’, mereka boleh jadi tutor kemudian mohon jadi pensyarah sambil menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana.
"Sebelum ini saya hantar mereka masuk universiti pun ketika saya ada duit, jadi tiada masalah. Saya juga menggalakkan mereka belajar dan mendalami bidang perfileman dan penulisan skrip sebab itu adalah kepakaran saya. Selama ini sayalah yang tulis skrip, mengarah dan sebagainya.
"Jadi mereka ambil subjek itu dan sekarang mereka jadi pelajar terbaik di Aswara. Saya sangat bersyukur," ujarnya.
Syafiq (kanan) merupakan pelajar cemerlang di Aswara.
Sebelum ini, anak Dharma iaitu Syafiq memuat naik hantaran di Instastory miliknya memohon jasa baik pemilik rumah memahami keadaan mereka yang memerlukan sedikit masa bagi melangsaikan bayaran sewa.
Kongsi Syafiq, sebagai seorang pelajar dia tidak mampu melunaskan bayaran sewa dalam masa singkat tambahan pula pemilik rumah itu didakwa tidak mahu memberi kerjasama.
Susulan itu, netizen menerusi ruangan komen di media sosial menyarankan agar Syafiq dan kakaknya itu berhenti belajar untuk mencari pekerjaan bagi menampung kehidupan mereka sekeluarga.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube