RSS Suria

Dharma Harun tiada selera makan, hilang 40 kg dalam tempoh tiga bulan akibat tekanan hidup

TIDAK lagi mendapat sebarang tawaran pekerjaan sejak tiga tahun lalu menjadi antara faktor pelakon Dharma Harun mengalami tekanan dan masalah kesihatan.

Dharma atau Dharma Harun Al-Rashid, 68, berkata, masalah yang dihadapi menyebabkan dia kurang selera makan sekali gus memberi perubahan ketara kepada keadaan fizikalnya.

Kata Dharma, sebelum ini dia sudah biasa bekerja namun disebabkan hilang punca pendapatan membuatkan dia berada dalam keadaan tertekan.

Dharma ditemani anaknya, Syafiq ketika dikediamannya.

"Saya akui masalah stres menyebabkan berat badan saya turun mendadak. Kalau dulu setiap hari saya keluar bekerja, tapi sekarang tawaran kerja pun tiada. Syarikat produksi yang diusahakan pun sudah tiga tahun tidak aktif.

“Apabila tiada tawaran kerja, tiadalah pendapatan. Bayangkan macam mana nak bayar rumah semua dan anak-anak saya yang masih belajar,” katanya.

Dharma berkongsi perkara itu ketika ditemui mStar di kediaman miliknya di Seasons Garden, Wangsa Maju pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Tertekan fikir masalah kewangan punca Dharma Harun makin kurus… Berat hanya 45 kg

ARTIKEL BERKAITAN: Anak Dharma Harun mohon tuan rumah bertimbang rasa, kongsi keadaan bapa semakin kurus… tak tergamak hantar ke rumah kebajikan

Menurut Dharma, dia mempunyai beberapa penyakit tapi tidak kronik selain masih boleh menjalani kehidupan seperti biasa.

Antara masalah kesihatan yang dihidapi adalah gastrik, asma, mengalami bengkak di jantung dan paru-paru serta tiroid.

Kata pelakon filem Adik Manja ini, jika dahulu berat badan 85 kilogram (kg) namun kini menyusut kepada 45 kilogram dalam tempoh tiga bulan.

"Saya ada sakit jantung membengkak, tapi tidaklah bahaya. Doktor hanya minta saya jaga kesihatan. Selain itu, paru-paru saya pun ada bengkak sikit selain menghidap asma.

Saya masih boleh bawa kereta dan ingatan saya masih baik.

DHARMA HARUN

PELAKON

“Kalau diikutkan saya ada banyak pantang larang setiap kali nak makan. Jadi Habis saya nak makan apa? Saya bantai saja dan bila bantai, malam saja saya kena serangan asma. Tengah malam, nafas saya berbunyi tapi ada ubat, saya okay.

"Kemudian, saya ada gastrik. Gastrik ini yang membuatkan saya rasa tak ada selera makan.

"Jadi bila sudah begini, dari hari ke hari, badan kita memang makin susut. Lapar itu memang ada tapi tiada selera," ujarnya.

Sementara itu, Dharma memohon jasa baik penggiat industri seni tanah air agar dapat memberikannya peluang untuk kembali mencari rezeki menerusi bidang lakonan atau penerbitan.

Keadaan fizikal Dharma membimbangkan peminat.

Malah, aktor berkenaan turut berharap program milik syarikat produksinya iaitu Deko Ibadah dapat dijual kepada syarikat televisyen yang berminat.

"Kalau ada mana-mana pihak atau sesiapa yang boleh bantu saya bagi ‘job’, saya rasa masih ada harapan. Lagipun saya masih boleh bawa kereta dan ingatan saya masih baik. Tiada rasa nak pengsan, atau sebagainya.

"Kalau ada pihak yang boleh bantu saya seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk meneruskan program Deko Ibadah, saya sangat hargai.

"Sebab Deko Ibadah musim pertama dapat sambutan sehingga rating mencecah 1.3 juta, malah program 13 episod di TV Al Hijrah itu juga bagus kerana kita buat kerja amal. Jadi saya harap sangat ada bantuan untuk saya meneruskan produksi program itu untuk musim seterusnya," katanya.

Syafiq sebelum ini berkongsi keadaan bapanya di Instagram miliknya.

Semalam mStar melaporkan Dharma mengalami masalah kesihatan sejak Mac lalu akibat tertekan memikirkan soal masalah kewangan yang dihadapi.

Perkara itu dimaklumkan oleh anaknya, Syafiq Dharma yang berkongsi berat badan bapanya turun mendadak selepas mengalami gastrik dan batuk berpanjangan.

Dharma dilaporkan tinggal bersama dua orang cahaya matanya iaitu Syafiq dan Siti Qurratu Aini, 37, yang kedua-duanya masih belajar di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaaan (Aswara).

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Scroll to Top