RSS Suria

Dibayar RM500 selepas tiga bulan latihan, Fazleena dedah realiti dunia teater 

PELAKON dan penulis, Fazleena Hishamuddin mengakui pernah melalui pengalaman menerima bayaran tidak setimpal ketika terlibat dalam sebuah produksi teater.

Fazleena, 46, berkata insiden itu berlaku sekitar 15 tahun lalu apabila dia hanya menerima bayaran sebanyak RM500 selepas melalui tempoh latihan yang panjang.

"Saya masih ingat lagi masa itu latihan hampir tiga bulan dan bayaran yang diterima cuma RM500, itu pun selepas tamat persembahan.

"Saya buat kerja belakang tabir ketika itu dan anggap teater sebagai ruang untuk menambah ilmu sebab memang minat," katanya kepada mStar.

Fazleena (tengah) tetap positif meskipun menerima bayaran rendah untuk sebuah projek teater.

Walaupun menyedari bayaran dalam industri teater tempatan tidak setinggi seperti filem atau drama, namun Fazleena menyifatkan pengalaman dan nilai yang diperoleh sangat berharga.

Menurut Fazleena, dia tidak setuju sekiranya terdapat produksi yang bersikap tamak apabila hanya memikirkan keuntungan peribadi semata-mata.

"Bagi saya ini adalah bentuk manipulasi atau eksploitasi. Tak adil bila sesebuah produksi dapat tajaan atau keuntungan besar hasil jualan tiket, tapi tak memberi ganjaran setimpal kepada pelakon dan kru produksi.

"Bukan soal nak sama rata, tapi hak yang sepatutnya diterima selepas bekerja keras untuk menjayakan sesebuah projek.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak belajar teater pun boleh berlakon atas pentas, Arfie Shah dan Aizat Saha sahut cabaran dalam ‘Persiapan Seorang Aktor’

ARTIKEL BERKAITAN: Nam Ron hadapi masalah gemuruh pentas, kurang selesa berdepan dengan penonton

“Bagi saya, penerbit perlu jujur dan ada ketelusan dalam pengurusan kewangan. Jika dapat lebih, mereka perlu kongsi.

“Lagipun kami tahu teater tak beri untung besar macam filem, tapi di sinilah nilai persahabatan, disiplin dan semangat seni itu diajar," katanya.

Dalam perkembangan lain, Fazleena teruja apabila berpeluang menjayakan teater Persiapan Seorang Aktor disamping dua nama hebat Nam Ron dan Aloy Paradoks.

Antara barisan pelakon dan tenaga produksi teater Persiapan Seorang Aktor.

Teater yang kini dipentaskan di Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC) sejak semalam hingga Ahad ini menyelongkar kisah pelakon lelaki yang obses untuk mencapai kesempurnaan dalam lakonan, bukan sahaja sebagai pelakon terbaik di Malaysia, malah, melangkaui kehebatan legenda seni pentas dunia.

Kisah ini membawa penonton menelusuri perjuangan mental, emosi, dan spiritual dalam dunia seni yang penuh pengorbanan, tekanan dan cinta terhadap panggilan seni.

Tiket sudah mula dijual dan boleh didapati di www.onetix.com.my dengan harga RM58, RM78, dan RM98.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Scroll to Top