RSS Suria

Dikritik bekas banduan tak layak jadi Ikon Antidadah, Ameng buktikan dirinya sudah ‘bersih’

TERBUKA berkongsi pengalaman ketika menjalani hukuman penjara akibat dadah, penyanyi Ameng mengangggap titik hitam yang berlaku adalah satu bentuk pengajaran untuk memberi manfaat kepada orang ramai.

Malah selepas diangkat sebagai Ikon Antidadah 2025, Ameng atau Wan Aminuddin Wan Ismail, 56, berkata sudah menjadi tanggungjawabnya untuk memberi pengajaran terutama buat golongan anak muda tentang bahana penggunaan bahan terlarang itu.

“Kisah saya kena rotan selalu dikongsikan. Walau sampai sekarang susah nak lupa, tetapi saya terbuka untuk cerita. Perkara yang baik (memberi manfaat) tak perlu nak selindung. Kebenaran itu memang pahit, tapi ia demi kebaikan.

Ameng menerima pelantikan sebagai Ikon Antidadah 2025 daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya juga banyak berkongsi tentang kesan dadah terutama kehidupan dalam penjara. Selain itu penting juga untuk tahu apa yang saya lalui dalam proses pemulihan.

“Sekarang ini saya seperti jadi kaunter pertanyaan. Bukan sahaja tentang masalah dadah, malah ada juga ahli keluarga banduan nak tahu waktu melawat di penjara,” katanya ketika dihubungi mStar.

Ameng menerima pelantikan bergelar ikon sempena Majlis Sambutan Peringatan Antidadah 2025 yang berlangsung di Jitra, Kedah pada 25 Julai lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Ameng imbau berbaris telanjang kena 10 sebatan, tangan dan kepala dipasung – "Kalau gajah pun lari"

ARTIKEL BERKAITAN: Ameng Spring kehilangan sahabat 50 tahun, tak sangka Iskandar pergi secepat ini

Penyanyi ini akan bekerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menerusi program yang dianjurkan untuk memberi pendedahan berkaitan masalah dadah.

Di sebalik tanggungjawab yang diberikan, Ameng juga tidak terlepas daripada tanggapan negatif sesetangah pihak yang melihat bekas banduan sepertinya bukan individu layak diangkat sebagai ikon.

Enggan ambil pusing pandangan sebegitu, baginya penglibatan ini menjadi bukti dia telah pulih sepenuhnya dan tidak lagi terlibat dengan bahan terlarang.

Pihak berkenaan sendiri perlu pastikan saya benar-benar bebas dari masalah dadah

AMENG

PENYANYI

“Pemilihan sebagai ikon ini bukan satu proses yang mudah. Pihak berkenaan sendiri perlu pastikan saya benar-benar bebas dari masalah dadah.

"Secara tidak langsung lantikan sebagai ikon ini menunjukkan saya sudah bersih dan program pemulihan sebelum ini berjaya.

“Ada juga kata-kata negatif yang anggap saya tidak layak sebab bekas banduan. Bagi saya orang akan bercakap apabila kita sudah berjaya.

Ameng tepis pandangan negatif terhadap dirinya.

“Golongan penagih ini perlu diberi bantuan untuk pulih. Kita kena ubah stigma. Janganlah pandang serong sebaliknya kita bantu mereka,” jelasnya.

Untuk rekod, Ameng pernah dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Melaka pada 2011 atas tiga kesalahan termasuk dua kes memeiliki dadah.

Dia yang menjalani hukuman di Penjara Kluang, Johor bagaimanapun dibebaskan selepas enam tahun kerana berkelakuan baik.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Scroll to Top