EMPAT beranak mengharungi detik mencemaskan apabila kenderaan e-hailing yang dinaiki mereka dipandu secara berbahaya oleh pemandunya yang dipercayai sedang khayal.
Menerusi perkongsian pelayar @raulhpg2000 di laman sosial, kejadian berlaku pada pagi Ahad ketika dia bersama isteri dan dua anaknya menaiki kenderaan berkenaan dari Cheras menuju ke Titiwangsa, Kuala Lumpur.
“Dari Cheras nak hantar anak sulung pergi pertandingan dekat Stadium Titiwangsa. Malas nak drive sendiri sebab hujan dam fikir jalan mesti jam teruk. Jadi aku order e-hailing.
“Sampai-sampai je Saga model BLM berwarna putih ni (WYT 9***). Kami sekeluarga (aku, wife, anak dua orang) masuk dalam kereta.
“Aku dah mula pelik dengan bau kereta. Fikir positif lagi. Lagipun dah lambat takut anak terlepas masa pertandingan,” tulisnya pada hantaran berkenaan.
Bagaimanapun menurut lelaki berkenaan, ketika mahu memulakan perjalanan, dia berasa tidak sedap hati apabila pemandu tersebut kelihatan seperti tidak mampu mengendalikan kenderaan dengan baik.
Tangkap layar butiran tempahan perkhidmatan e-hailing yang dikongsikan lelaki berkenaan.
“Masa nak mula perjalanan boleh pula dia tekan minyak tapi gear tak masuk. Meraung-raung kereta dia. Aku cakap dekat dia ‘gear tak masuk, macam mana kereta nak jalan?’.
“Dia boleh gelak-gelak sambil mata lalok teruk macam tengah khayal. Situ aku dah syak. Dia tak normal.
“Lepas dah masuk gear, dia bawa laju memecut sambil ke kiri ke kanan nak langgar kereta dan motor dari arah depan.
“Lepas tu dia tekan ‘complete order’ sedangkan baru saja berapa minit jalan,” dakwanya lagi.
ARTIKEL BERKAITAN: Lima beranak ‘terseksa’ dalam e-hailing… Setengah jam tahan bau kaki, ketiak busuk pemandu!
ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu e-hailing terlebih mesra, buka cerita dah bercerai… Rupanya taktik pancing gadis kolej, siap berani buat video call!
Bagaimanapun, lelaki tersebut tidak menyatakan sama ada ada pemandu berkenaan berada di bawah pengaruh alkohol atau bahan terlarang lain.
Enggan mengambil risiko, penumpang itu mengarahkan pemandu berkenaan memberhentikan kenderaan kerana tidak mahu kejadian tidak diingini menimpa dia dan keluarga, namun permintaannya tak diendahkan.
Kalau teruskan jalan memang lain yang jadi nanti, dengan bawa anak kecil lagi. Syukur Tuhan masih sayangkan kami sekeluarga.
PENUMPANG
“Aku terpaksa tarik handbrake berhentikan kereta dan suruh anak bini keluar dari kereta dulu. Baru jalan tak sampai satu kilometer pun dah macam tu.
“Kalau teruskan jalan memang lain yang jadi nanti, dengan bawa anak kecil lagi. Syukur Tuhan masih sayangkan kami sekeluarga.
“Hati-hati dengan driver ni. Takut jadi benda yang tak diingini dekat ahli keluarga korang,” tulisnya lagi.
Menerusi hantaran tersebut juga, lelaki itu memuat naik satu video memaparkan dirinya memarahi pemandu e-hailing berkenaan selepas turun dari kenderaan.
Hantarannya yang dimuat naik di laman Facebook Dunia Info Kini pada Isnin, meraih lebih 800 perkongsian serta dibanjiri ratusan komen, selain turut dikongsikan beberapa laman lain.
Antara komen warga maya terhadap perkongsian lelaki berkenaan.
Rata-rata netizen menggesa pihak berkuasa agar segera mengambil tindakan terhadap pemandu berkenaan kerana dikhuatiri akan membahayakan keselamatan penumpang lain dan orang awam.
“Call polis on the spot, tarik kunci, jangan bagi bawa kereta tu lagi… jangan bagi lepas.
“Encik boleh buat report dekat syarikat e-hailing nanti dia akan dikenakan tindakan.
“Hapuskan air mabuk! Sesetengah pihak terlalu sayangkan benda tu yang boleh bawa untung,” demikian antara komen netizen.
Sehingga kini, masih belum ada kenyataan rasmi daripada polis mengenai insiden berkenaan.