RSS Suria

Dulu pernah diikat di tiang elektrik, guru berjaya pujuk murid 2 bulan menangis sebab tak suka ke sekolah

SEORANG pendidik di Marang, Terengganu akhirnya berjaya memujuk murid darjah satu yang sering menangis kerana tidak suka pergi ke sekolah.

Guru berkenaan yang juga Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Mat Saidi Yusof berkata masalah anak muridnya yang bernama Amirul itu sudah berlarutan selama dua bulan namun hanya dapat diselesaikan pada minggu lalu.

Saidi yang berusia 47 tahun berkata dia berjaya ‘berubat’ Amirul sehingga kanak-kanak itu tidak perlu lagi memanggil ibu atau bapanya ke sekolah untuk membawanya pulang.

“Amirul ni seorang yang manja. Saya tahu sebab ayah Amirul kawan sekampung. Dekat rumah Amirul okay, tapi bila sampai je pagar sekolah, turun motosikal terus menangis. Sudah dua bulan dia macam tu.

Saidi (kiri) bersama Amirul (kanan) dan pelajar lain.

“Tapi ayahnya tak hiraukan pun, dia tinggalkan je jadi Amirul terus menangis. Ada guru yang nampak terus pimpin dia ke kelas sambil meraung.

“Sebelum ni, kalau dia menangis sampai kami kena telefon mak dan ayahnya suruh datang ambil sebab kasihankan Amirul, risau juga dia pengsan sebab menangis lama sangat,” ujarnya kepada mStar.

Bercerita lanjut mengenai video yang dimuat naik di TikTok, Saidi berkata ketika itu dia sedang membuat rondaan di sekolahnya, iaitu Sekolah Kebangsaan Bukit Jelutong, di Marang.

Dia yang mengajar subjek Pendidikan Jasmani mengakui sentiasa mencari jalan untuk memujuk Amirul dan salah satu cara dengan mengajaknya menjadi pembantu bagi aktiviti di luar kelas.

ARTIKEL BERKAITAN: Ustazah baik di depan, di belakang ‘cucuk’ pengetua! Guru muda terkilan ‘reward’ pelajar dianggap rasuah

ARTIKEL BERKAITAN: Sempena Hari Guru, kenal pasti ciri-ciri pendidik dikenang sepanjang zaman… anda juga boleh contohi sikap mereka!

“Sebelum ini saya cuma tahu mengenai masalah Amirul lepas dengar aduan guru-guru lain. Masa buat rondaan, saya nampak muka Amirul sudah kemerahan menangis.

“Kebetulan lepas tu waktu kelas PJ, jadi banyak kelas turun ke dataran untuk bersukan. Saya minta Amirul jadi assistant saya dan minta pelajar lain panggil dia ‘Cikgu Mirul’.

“Amirul pun seronok bila diberi semangat macam tu. Saya minta pelajar lain bagi semangat dekat dia. Jadi bermula dari situ, dia senyum lebar datang sekolah dan dah tak menangis. Saya juga suruh dia duduk sebelah sepupu dalam kelas,” katanya lagi.

Jelas Saidi yang sudah berkhidmat selama 21 tahun sebagai pendidik, murid pada tahun 2024 kebanyakannya mempunyai masalah sama seperti Amirul.

Kalau tak, nanti orang tengok dia menangis sampai merah mata dan berpeluh, siapa nak kawan.

CIKGU SAIDI

Berkongsi pengalaman peribadinya, Saidi berkata dia juga pernah seperti Amirul yang kerap menangis sewaktu awal sesi persekolahannya dahulu.

“Masa zaman saya tu lagilah… saya menangis nak balik rumah. Rumah saya pula depan sekolah je, memang lagi kuat rasa nak lari balik.

“Pernah waktu cikgu tak ada dalam kelas, saya lari keluar melalui pagar jenis dawai tu balik rumah. Sampai satu tahap mak pernah ikat saya dekat tiang elektrik sebab asyik nak lari sekolah.

“Mengenangkan situasi pelajar sekarang, saya faham perasaan mereka. Cikgu saya dulu pun buat perkara sama dengan ajak saya bermain di luar kelas. Asbab cikgu tu, saya boleh jadi atlet mewakili sekolah,” jelasnya lagi.

Saidi sudah berkhidmat sebagai guru selama 21 tahun.

Tambah bapa kepada tiga cahaya mata ini, dia merupakan guru yang tegas dan garang dengan para murid.

Bagaimanapun, Saidi tetap dihormati kerana pandai mengambil hati dan menyantuni murid-murid di sekolah tempat dia bertugas.

Dalam pada itu, dia juga berkongsi tip bagaimana berjaya menangani masalah murid yang menangis kerana mahu balik ke rumah.

Saidi bersama ahli keluarganya.

“Biasanya saya bawa pelajar menangis tu bertenang dulu. Alih perhatian dia dengan cakap pasal sekolah je. Kalau rindu mak, jangan cakap pasal mak. Kalau dia nak balik rumah, jangan sebut pasal rumah.

“Tak rugi pun kalau bawa dia keluar sekejap dari kelas tu supaya dia berhenti menangis. Bawa pergi berjalan-jalan dan layan dia sekejap untuk tenangkan diri.

“Kalau tak, nanti orang tengok dia menangis sampai merah mata dan berpeluh, siapa nak kawan. Kalau dia dah okay, orang lain akan rasa seronok nak kawan dengan dia. Cikgu pun tak bosan nak mengajar bila murid dah tak menangis,” katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Scroll to Top