RSS Suria

Erika Foo tepis stereotaip, pilih rakam lagu dalam bahasa Melayu

MEMILIH merakamkan single berbahasa Melayu, penyanyi baharu Erika Foo mahu menepis stereotaip yang sering dilabel kepada artis berbangsa Cina.

Erika atau Erika Foo Hann Yi, 19, berkata, dia ingin mengambil peluang tersebut bagi membuktikan kemampuannya bertutur dan menyanyi dalam bahasa Melayu dengan baik.

“Secara peribadi, saya mahu membuang stereotaip yang sering mengatakan orang Cina tidak pandai berbahasa Melayu.

Erika mahu membuktikan kemampuannya menyanyikan lagu bahasa Melayu.

“Bila saya pergi kelas memandu, saya cakap bahasa Melayu dan pelatih tersebut terkejut saya fasih bertutur bahasa Kebangsaan.

“Jadi saya mahu cabar stereotaip itu membuktikan saya boleh menyanyi lagu bahasa Melayu,” katanya kepada mStar.

Dalam pada itu, Erika mengakui dia tidak mempunyai halangan bertutur dengan fasih bahasa itu kerana faktor sekeliling turut memainkan peranan.

ARTIKEL BERKAITAN:Zareef Sein gubah lagu sendiri, tak yakin nyanyi karya komposer lain

ARTIKEL BERKAITAN:11 buah lagu Siti Nurhaliza masih dalam ‘peti besi’ SRC

Tambahnya, di sekolah dia banyak bergaul dengan rakan berbangsa Melayu turut membuatkan dia selesa sekiranya mahu bertutur menggunakan bahasa Kebangsaan.

“Kalau ikutkan saya tidak pandai berbahasa Mandarin. Di rumah saya banyak menggunakan bahasa Inggeris untuk berkomunikasi dengan keluarga.

“Di sekolah pula, saya ada ramai kawan bangsa Melayu, saya juga menyertai kumpulan koir yang tenaga pengajarnya juga mengajar dalam bahasa Melayu.

Erika merupakan artis di bawah naungan SRC.

“Jadi daripada situ saya banyak belajar dan dapat menguasai bahasa Kebangsaan dengan baik.

“Bagi saya, semua masyarakat di Malaysia ini perlu tahu menggunakan bahasa Kebangsaan kita,” ujarnya.

Erika merupakan artis syarikat rakaman Suria Records (SRC) dan mempunyai dua buah single iaitu Mahligai Syahdu dan Hidupkan Mimpi Mimpi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Scroll to Top