SELEPAS tular video memaparkan seorang wanita didakwa sengaja menyentuh lengan Fattah Amin dalam sebuah acara, pelakon itu tampil menjelaskan situasi sebenar.
Fattah atau Abdul Fattah Mohd Amin, 34, berkata wanita berkenaan merupakan salah seorang petugas majlis yang ditugaskan mengirinya sepanjang acara berlangsung.
Jelasnya, dia yakin wanita tersebut tiada niat menyentuhnya sesuka hati sebaliknya hanya menjalankan tugas diberikan.
Video tersebut tular sehingga mengundang kecaman ramai pihak.
“Wanita itu sebenarnya salah seorang kru penganjur. Dia cuba untuk tarik saya ke bawah pentas sebab nak teruskan aturcara lain.
“Dia hanya cuba nak cepatkan pergerakan saya. Tapi kebetulan kamera banyak menyorot situasi itu sampaikan buat anggapan tidak baik tentangnya.
“Saya pun pada ketika itu tidaklah rela dipegang dan tangan pun dalam poket. Dan wanita itu pun saya yakin dia bukan saja-saja berbuat demikian,” katanya kepada mStar.
ARTIKEL BERKAITAN: “Tiada istilah menunggang” – Fattah Amin tak jaja kisah peribadi, sudah tertulis rezeki murah selepas bercerai
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Fattah Amin terima ‘LOD’ daripada Fazura, serah pada peguam untuk jawab
Fattah berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media Super Telemovie Unifi TV berjudul Larian Terakhir pada malam Khamis.
Dalam pada itu, Fattah mengakui dia langsung tidak menjangkakan kejadian iti menjadi kecoh sehingga ada mengecam petugas terbabit di media sosial.
“Kasihan juga dekat dia. Tetapi benda seperti ini memang di luar kawalan, saya pun terkejut juga,” kongsinya.
Kasihan juga dekat dia, tetapi benda seperti ini memang di luar kawalan.
FATTAH AMIN
PELAKON
Dalam perkembangan lain, Fattah bakal membintangi sebuah super telemovie terbaharu berjudul Larian Terakhir yang bakal bersiaran pada 15 Disember ini.
Membawa watak sebagai seorang pelari berbakat, Fattah memberitahu dia cuba mencabar diri menjayakan karakter di luar kebiasaan apatah lagi ia banyak menitikberatkan kekuatan fizikal.
“Watak kali ini saya banyak berlari dan terus terang ia sukar dari segi stamina serta risiko kecederaan. Tetapi saya tolak tepi perkara itu.
Fattah bakal membintangi telemovie Larian Terakhir.
“Sebagai pelakon tentu saya nak cabar diri lakukan karakter yang belum pernah dicuba. Saya harap peminat dapat menerima baik dan tak sabar nak dengar respon mereka.
Selain Fattah, telemovie berkenaan turut dibintangi oleh barisan pelakon hebat lain termasuklah Amyra Rosli dan Fahrin Ahmad.
Larian Terakhir bakal menemui penonton menerusi aplikasi Unifi TV serta saluran Degup.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!