RSS Suria

Fauziah Latiff fokus cari ketenangan, belum sedia buka hati kahwin lagi

PENYANYI Fauziah Latiff belum bersedia membuka pintu hatinya untuk kembali mendirikan rumah tangga selepas 18 tahun hidup menjanda.

Kata Fauziah atau atau Siti Fauziah Sheikh Abdul Latiff, 55, selain fokus untuk diri sendiri, keutamaannya kini adalah mahu menjaga ibu yang semakin lanjut usia.

“Saya selesa dengan keadaan sekarang. Kalau nak fikir tentang perkahwinan, diri sendiri pun tak terjaga. Apatah lagi mahu menjaga orang lain.

Fauziah belum terfikir mahu kembali bergelar isteri.

“Sekarang ini saya gembira menjaga ibu. Itu tanggungjawab kerana dia adalah nyawa saya.

“Kalau nak fikir soal jodoh, nanti dahulu. Ibu adalah segalanya buat saya,” katanya kepada mStar.

Fauziah berkongsi perkara itu ketika ditemui selepas konsert JessC X Fauziah Latiff yang berlangsung Arena of Stars, Genting Highland, Pahang pada malam Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN:Fauziah Latiff cerewet orangnya, punca 9 tahun tiada lagu baharu

ARTIKEL BERKAITAN:Setiap tahun dapat tawaran buat konsert tapi Fauziah Latiff belum sedia

Tambah penyanyi ini dia juga masih berusaha untuk terus memperbaiki diri dalam menempuh pelbagai dugaan dunia.

Malah Fauziah juga lebih senang untuk mencari ketenangan dengan melakukan perkara-perkara positif.

“Saya percaya masih banyak perlu perbaiki termasuk mengenali diri dan persekitaraan. Sekarang pun sudah akhir zaman, jadi lebih baik saya dekatkan diri dengan perkara positif.

Sekarang ini saya gembira menjaga ibu.

FAUZIAH LATIFF

PENYANYI

“Saya memilih apa sahaja yang boleh beri ketenangan,” ujarnya.

Untuk rekod, Fauziah pernah mendirikan rumah tangga dengan Syed Budriz Putra Syed Amir Zainal Abidin Jamalullail pada 1992, namun mereka mengambil keputusan untuk bercerai tiga tahun kemudian.

Kemudian, Fauziah berkahwin buat kali kedua dengan ahli perniagaan, Johan Indot di London pada 1997 sebelum bercerai pada 2007.

KonsertJessC X Fauziah menerima sambutan meriah.

Hasil perkahwinan kedua itu, dia dikurniakan dua orang cahaya mata lelaki iaitu Jeffri Joaquim, 26, dan Jeremy Jay, 24 tahun.

Dalam perkembangan lain, Fauziah teruja apabila Konsert JessC X Fauziah Latiff berakhir dengan kejayaan.

Selain duet bersama JessC menerusi lagu Tak Terpisah, Fauziah turut mempersembahkan lagu Dia dan Sekilas Senyumanmu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Scroll to Top