RSS Suria

Fizz Fairuz tinggalkan Suria FM, mahu fokus jaga anak-anak

PELAKON Datuk Fizz Fairuz memaklumkan kontraknya sebagai penyampai radio di Suria FM berakhir pada Jumaat.

Fizz atau Fairuz Zainal Abidin, 46, memberitahu selepas meninggalkan stesen berkenaan dia akan memberikan fokus kepada keluarga dan anak-anak.

Menurut Fizz, dia kasihan melihat pengorbanan isteri iaitu pelakon Almy Nadia yang terpaksa menguruskan anak-anak bersendirian.

“Pada awalnya saya memang ikat kontrak setahun sahaja dengan Suria FM dan atas kepercayaan Kak Lin (panggilan DJ Lin) dia tambah lagi kontrak selama enam bulan.

Fizz mahu fokus kepada anak-anak dan meneruskan kerjaya dalam bidang seni.

“Saya rasa cukup rasanya untuk tempoh 1 tahun 6 bulan ini sebab anak saya masih kecil. Saya juga uruskan anak-anak, kasihan kepada isteri yang terlalu sibuk,” katanya kepada mStar.

Dalam pada itu, Fizz memberitahu sepanjang perkhidmatannya di Suria FM, dia banyak menimba pengalaman baharu dan ia merupakan satu memori terindah yang akan sentiasa diingati.

Menurut Fizz lagi, selepas ini dia mahu kembali aktif meneruskan kerjaya seni sebagai pelakon.

“Hari ini (Jumaat) tanggal 18 Julai saya ‘sign off’ daripada menjadi penyampai Suria FM. Saya ambil pendekatan untuk sama-sama berkorban, insya-Allah rezeki itu ada di mana-mana. Jadi saya mahu kembali dalam dunia seni untuk berlakon drama dan filem.

ARTIKEL BERKAITAN: Fizz Fairuz, Chiwan dan Kai Hassan penyampai baharu Suria FM

ARTIKEL BERKAITAN: Fizz Fairuz mahu hantar anak masuk pusat tahfiz, persediaan ‘bekalan’ di kemudian hari

“1 tahun 6 bulan saya bersama Suria FM, pengalaman baru Alhamdulillah saya sudah pelbagaikan darah seni saya. Satu memori yang saya akan ingat sampai bila-bila.

“Insya-Allah kalau ada rezeki dalam bidang lain atau saya masih meneruskan kerjaya lakonan, saya terima sahaja lihat nanti macam mana,” ujarnya.

Ditanya bagaimana reaksi rakan penyampai radio Ajak dan Kai selepas pengumuman menamatkan perkhidmatan dibuat, Fizz berkata kedua-dua rakan kerjanya itu terkejut dengan keputusan dibuat.

Namun kata aktor berkenaan, mereka terpaksa akur dan menerima segala kententuan yang sudah ditetapkan.

“Kalau nak diikutkan rakan kerja saya Ajak dan Kai memang terkejut, mereka juga tidak boleh terima kenyataan ini.

Saya rasa cukup rasanya untuk tempoh 1 tahun 6 bulan ini sebab anak saya masih kecil.

FIZZ FAIRUZ

PELAKON/PENYAMPAI RADIO

“Sebelum ini sudah berapa ramai menggantikan tempat yang saya ‘duduk’ ini. Macam Ajak, sudah tentu dia akan terasa setiap kali mahu membina keserasian dengan rakan kerja lain.

“Tapi kami semua terpaksa terima kerana perkara ini adalah melibatkan kerja, tak selamanya kita akan bersama,” katanya.

Untuk info, Fizz mula berkhidmat sebagai penyampai di radio Suria FM sejak 21 Januari 2024.

Sebelum sah memulakan tugas, Fizz sebelum itu sudah beberapa kali tampil sebagai penyampai jemputan untuk segmen Morning Morning Suria.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Scroll to Top