RSS Suria

Hafreez Adam tak trauma putus cinta, mahu fokus masa bersama keluarga

PERNAH melalui kegagalan dalam percintaan, pelakon Hafreez Adam mengakui dia tidak pernah berasa trauma atau serik untuk mencari pasangan baharu.

Hafreez atau Hafreez Adam Aizat Zahalan, 35, berkata pengalaman putus cinta bukanlah faktor utama mengapa dirinya masih belum mendirikan rumah tangga hingga ke hari ini.

"Istilah trauma itu tidak wujud dalam hidup saya. Saya percaya setiap perjalanan hidup ada pasang surut. Kalau saya jenis yang ralat dengan apa yang berlaku, tentu saya tak mampu untuk move on.

Hafreez bahagia dikelilingi keluarga tercinta.

"Ibu saya pun tidak pernah mendesak soal kahwin, malah tak pernah sekalipun bertanya bila saya mahu berkahwin," katanya kepada mStar.

Menurut Hafreez, buat masa ini dia belum memikirkan soal perkahwinan kerana lebih selesa memberi tumpuan kepada keluarganya.

"Saya gembira dengan kehidupan sekarang. Setiap orang ada impian untuk berkeluarga dan memiliki anak sendiri, tapi buat masa ini fokus saya hanya satu iaitu meluangkan masa berkualiti dengan keluarga.

ARTIKEL BERKAITAN: Simpan kisah peribadi, Hafreez Adam hanya ‘update’ urusan kerja

ARTIKEL BERKAITAN: Asyik jadi anak orang kaya, Hafreez Adam teringin bawa watak jahat… Sanggup ubah penampilan jika diminta

"Kita tak tahu berapa lama lagi mereka akan ada. Kalau saya terlalu fokus pada cinta yang belum wujud, saya takut abaikan mereka yang ada di sisi saya sekarang," katanya.

Pelakon filem Gantung: Musketeer Code itu turut mengakui ada rasa cemburu melihat rakan-rakan artis lain yang sudah bahagia membina keluarga, namun dia tetap bersyukur kerana dikurniakan keluarga besar yang sentiasa menceriakan hidupnya.

"Tipulah kalau saya kata tak cemburu tengok kawan-kawan sudah berkeluarga, tapi saya tak pernah rasa sunyi sebab saya ada keluarga besar.

Hafreez mahu fokus luangkan masa bersama keluarga.

"Arwah ayah saya berkahwin lebih daripada satu. Walaupun berlainan ibu, hubungan kami tetap rapat. Jadi, saya tidak pernah berasa keseorangan.

"Bila bercuti, saya akan bawa keluarga. Kalau tiada penggambaran, rumah saya mesti jadi tempat lepak anak-anak saudara," ujarnya lagi.

Untuk rekod, Hafreez pernah mengikat tali pertunangan dengan pelakon Zara Zya pada Oktober 2019 selepas berkenalan ketika membintangi drama Monalisa pada 2017. Namun, pertunangan mereka putus selepas sebulan mengikat janji.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Scroll to Top