RSS Suria

Hampir pengsan di set, Hilal Azman gagahkan diri demi mencari rezeki

PELAKON Datuk Hilal Azman berdepan detik cemas apabila hampir pengsan di lokasi penggambaran filem Memori yang dijalankan di Pulau Duyung, Terengganu pada tahun lalu.

Kata Hilal atau Nor Hilal Abdulllah, cabaran cuaca panas dan terlalu penat mungkin menjadi faktor berlakunya masalah kesihatan ketika melakonkan babak di persisiran pantai itu.

Meskipun dinasihatkan oleh anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk tidak meneruskan penggambaran, Hilal menolak permintaan tersebut kerana enggan menyukarkan pihak produksi.

Dari kiri: Diana, Hilal, Abid (pengarah), dan Hisyam yang merupakan teraju utama Memori.

“Ia merupakan pengalaman menakutkan sampai dipesan oleh JPAM supaya saya tidak meneruskan penggambaran pada hari tersebut.

“Mungkin faktor cuaca yang panas, penat dan lari pula atas pasir. Dalam pasir ada banyak batu karang. Bayangkanlah. Itu menyebabkan salah satu punca, mungkin.

“Mereka suruh saya rehat dan balik. Kalau apa-apa berlaku kepada saya, memang masalah untuk produksi kerana penggambaran sudah hampir selesai.

ARTIKEL BERKAITAN: Hilal Azman menang Pelakon Lelaki Terbaik Asia Pasifik, filem Memori beri ruang improvasi watak

ARTIKEL BERKAITAN: Hilal Azman belum puas berlakon… mahu terus sampaikan perkara baik kepada penonton

"Tapi saya beritahu mereka tidak boleh berehat kerana enggan menjejaskan keseluruhan proses penggambaran filem ini,” katanya kepada mStar.

Sentiasa memberi komitmen sepenuhnya dalam pekerjaan, Hilal menganggap setiap tawaran berlakon diterima merupakan rezeki buat keluarga.

Menurut Hilal, dia akan menjaga setiap amanah yang diberikan tanpa mengharapkan sebarang pengiktirafan.

Sejujurnya adalah kerana saya mencari rezeki untuk keluarga. Bukan kerana mahu dapat anugerah.

DATUK HILAL AZMAN

PELAKON

“Kalau ditanya kenapa saya berminat untuk berlakon filem ini, sejujurnya adalah kerana saya mencari rezeki untuk keluarga. Bukan kerana mahu dapat anugerah.

“Sewaktu saya datang uji bakat saya berdoa mahu mencari rezeki buat isteri dan anak-anak. Alhamdulillah dapat. Jadi bila sudah diterima ia merupakan satu amanah.

“Itu puncanya saya mahu buat yang terbaik dalam setiap apa sahaja tawaran diterima,” ujarnya.

Memori bakal ditayangkan di pawagam bermula 31 Julai ini.

Untuk info, menerusi filem Memori Hilal berjaya meraih anugerah Pelakon Terbaik Asia Pasifik pada Februari lalu.

Selain Hilal, filem ini turut dibintangi pelakon Hisyam Hamid dan Diana Danielle.

Memori diedarkan oleh GSC Movies dan akan ditayangkan di seluruh pawagam bermula 31 Julai ini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Scroll to Top