‘ANAK ramai, rezeki bertambah’ secara amnya bermaksud memiliki keluarga yang besar bakal membawa banyak keberkatan dalam kehidupan berumah tangga.
Setiap anak itu adalah amanah Allah kepada pasangan suami isteri, justeru mereka perlu dibesarkan dan dididik dengan penuh tanggungjawab
Namun, dalam beberapa situasi bukan semua pasangan suami isteri layak mempunyai anak ramai.
Anak adalah pembawa rezeki. -Gambar hiasan
Seorang pengguna media sosial berkongsi tangkap layar seorang wanita yang mahu agensi kerajaan bertanggungjawab terhadap keluarga yang mempunyai ramai anak.
“Saya baru lepas bersalin anak yang ketujuh, baru lepas hubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Pegawai JKM cakap bantuan saya dah dapat maksimum RM1,000. Tak boleh naik kadar lagi,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Anak jadi agresif sejak bercerai! Ibu fobia, dah tak mampu ‘handle’… Mahu minta bantuan JKM – “Dah sampai tahap bergelut, potong tangan”
ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki anak 7 kena ‘bantai’ merungut berhabis RM3,000 sebulan makan Menu Rahmah – “Macam ni JKM pun tak sanggup bela!”
Wanita itu juga memaklumkan bahawa pegawai berkenaan menasihati suaminya supaya bekerja lebih gigih seiring bertambahnya bilangan anak.
“Patut ke pegawai JKM cakap macam tu?
“Sepatutnya tanggungjawab JKM la nak bagi bantuan kepada kami yang anak ramai ni,” katanya.
Perkongsian itu ternyata mengundang kritikan ramai yang dianggap memalukan pasangan suami isteri lain yang mempunyai ramai zuriat.
Jika suami mengabaikan nafkah anak, maka dia dianggap cuai melaksanakan tanggungjawab dan berdosa.
PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN
“Aku anak ramai pun tidaklah sampai tahap macam ni.
“Sebab dah selesa hidup meminta-minta sampai hilang rasa malu,” kata warga maya.
Sementara itu, menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, pasangan yang menginginkan ramai anak dalam perkahwinan mereka adalah sesuatu yang digalakkan dalam Islam bagi meramaikan umat Nabi Muhammad SAW.
Pasangan suami isteri disaran merancang kehamilan dengan sebaiknya. -Gambar hiasan
Namun, jika pihak suami mengabaikan nafkah anak, maka dia dianggap cuai melaksanakan tanggungjawab dan berdosa.
“Dalam agama Islam tanggungjawab nafkah sesebuah keluarga terletak di bahu suami/bapa di dalam keluarga.
“Nafkah yang dimaksudkan di sini meliputi perbelanjaan makan dan minum, pakaian, menyediakan tempat tinggal dan apa sahaja keperluan asas dalam kehidupan suami isteri dan kehidupan keluarga,” katanya.
Jelasnya, apabila suami isteri masing-masing menunaikan tanggungjawab dengan sebaik mungkin, maka ahli keluarga tersebut akan berada dalam keadaan selesa dan tenteram.