AKTIVITI lasak seperti mendaki bukit atau gunung serta jungle trekking semakin popular di Malaysia, terutamanya dalam kalangan mereka yang tinggal di bandar kerana ingin mencari ketenangan.
Ia sering disebut sebagai healing dan semakin menjadi ikutan atau trend anak muda sekarang.
Namun, terdapat beberapa pantang larang yang perlu dipatuhi bagi memastikan keselamatan dan pengalaman yang lebih baik ketika berada di hutan atau gunung.
1. Elakkan membuat bising
Ketika berada di dalam hutan, elakkan daripada menjerit, bersiul atau memanggil rakan dengan nada yang tinggi.
Perbuatan ini boleh mengganggu keseimbangan alam dan menarik perhatian haiwan buas.
Selain itu, mereka yang ‘mulut celupar’ juga perlu berhati-hati dengan percakapan kerana kata-kata yang tidak sepatutnya boleh mengundang perkara tidak diingini.
2. Jangan buang sampah merata-rata
Menjaga kebersihan adalah tanggungjawab setiap pendaki, jadi elakkan daripada membuang sampah merata-rata termasuk sisa makanan ringan dan tisu.
Selain itu, wanita yang sedang datang bulan perlu membuang tuala wanita atau pad dengan cara betul dan tempat lebih sesuai.
Dilarang juga meludah atau membuang air kecil di tempat air bertakung atau di atas busut kerana tindakan ini boleh mengundang kemarahan makhluk ghaib.
Pantang larang ketika masuk hutan ini dikongsikan Firdaus.
3. Berhati-hati jika terjumpa ular
Sekiranya ternampak ular melintas di hadapan semasa melalui denai, sebaiknya batalkan niat untuk meneruskan perjalanan kerana ia sering dianggap sebagai ‘petanda buruk’.
Jika ada laluan lain, gunakan trek tersebut sebagai langkah berjaga-jaga.
4. Jangan bawa makanan mentah
Elak bawa bahan mentah seperti daging, ayam atau ikan.
Ini kerana makanan mentah terutamanya yang masih berdarah boleh menarik perhatian makhluk ghaib dan membawa perkara yang tidak diingini.
5. Dapatkan permit sebelum mendaki
Bagi memastikan keselamatan dan mengelakkan masalah semasa pendakian, pastikan anda memohon permit daripada jabatan perhutanan terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan.
Peringatan ini dikongsikan Mohd Firdaus Latiff yang banyak bercerita tentang pengalaman berkhemah di TikTok.
Menurut Firdaus adalah penting untuk mematuhi pantang larang ini demi memastikan keselamatan diri dan rakan-rakan semasa berada di dalam hutan atau gunung.