NEKAD memperlahankan kerjaya seni, juara Akademi Fantasia musim ke-10 (AF10) Faizul Sany mempunyai pelbagai sebab dengan keputusan tersebut.
Faizul atau Mohd Faizul Sany, 38, menjelaskan dia perlu memberi perhatian kepada anak sulungnya iaitu Noah, 4, yang menghidap autisme sejak dua tahun lalu.
Tidak cukup dengan itu, Faizul juga berkongsi khabar duka dia sendiri berdepan dengan masalah berkaitan jantung iaitu kegagalan jantung kongestif.
Anak-anak keutamaan Faizul.
“Anak saya perlukan perhatian penuh setiap hari dan tiada orang lain boleh menjaganya. Isteri saya masih bekerja jadi saya perlu berkorban duduk di rumah menjaga anak-anak.
“Saya juga ada masalah kesihatan iaitu kegagalan jantung kongestif di mana jantung saya membesar.
“Ketika melakukan pemeriksaan empat tahun lalu, saya tiada masalah saluran jantung tersumbat dan ia berkaitan genetik.
ARTIKEL BERKAITAN: Faizul, Juara AF 2013 Akur Tidak Popular
ARTIKEL BERKAITAN: Anita Sarawak sihat, lebih selesa berkebun dan layan suami… Nekad tinggalkan dunia seni
“Jantung saya ini kalau ikutkan hanya tinggal 30 peratus sahaja fungsinya dan sebab itu saya tidak boleh terlalu aktif buat kerja berat,” katanya ketika dihubungi mStar pada Selasa.
Kegagalan jantung kongestif merupakan masalah berkaitan otot jantung yang tidak dapat mengepam jumlah darah mencukupi dan mengakibatkan kesan kepada pesakit seperti sakit dada, denyutan nadi tidak stabil atau bengkak pada bahagian perut.
Bercerita lanjut mengenai keadaannya, Faizul memberitahu dia kini perlu melakukan pemeriksaan tahunan di hospital susulan masalah tersebut selain mengambil ubat-ubatan.
Sekarang saya rasa lebih tenang dan seronok menguruskan anak-anak
FAIZUL SANY
PENYANYI
Reda menerima segala dugaan, dia juga lebih tenang menguruskan keluarga di rumah walaupun kesihatannya tidak mengizinkan.
“Ketika anak saya disahkan austisme, ada juga rasa kecewa namun saya belajar untuk terima hakikat.
“Sekarang saya rasa lebih tenang dan seronok menguruskan anak-anak. Segala urusan terapi anak juga dipermudahkan.
Faizul ketika dinobatkan sebagai juara AF10.
“Setiap hari saya akan bawa Noah bermain di taman sebagai terapi. Dia juga perlu menjalani rawatan terapi sekali dalam seminggu,” ujarnya.
Untuk rekod Faizul berkahwin dengan Afzarina Yahya pada November 2017 dan mereka memiliki seorang lagi cahaya mata iaitu Aisyah yang kini berusia 3 tahun.
Biarpun fokusnya kini bukan lagi kerjaya seni, Faizul masih terbuka untuk bekerjasama dalam penghasilan lagu baharu jika diberi kesempatan.
Faizul tidak fikir untuk kembali aktif menyanyi.
“Semesti rindu nak kembali aktif tetapi saya tak pernah rasa terkilan untuk perlahankan kerjaya seni. Saya yang buat keputusan ini tanpa paksaan sesiapa pun.
“Buat masa sekarang biarlah bersara dahulu. Saya pun tak tahu mungkin kembali aktif di masa akan datang.
“Saya juga terbuka untuk hasilkan lagu baharu jika ada peluang dan kesempatan masa,” jelasnya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!