RSS Suria

Juri perlu beri ‘content’, Naqiu akui komen biasa buat penonton bosan

DIPILIH sebagai juri bagi acara The Ascott Star Rewards Festival 2025, penyanyi Naqiu tidak menafikan sebagai pengkritik perlu mencipta kandungan sesuai bagi menarik perhatian penonton.

Selain memberikan input membina bagi peserta, Naqiu atau Wan Naqiuddin Mohd Najib, 39, berkata cara penyampaian juri haruslah dilakukan secara kreatif dan menarik.

“Bagi saya, sekarang ini segala-galanya tentang ‘content’. Kalau juri memberikan content, mungkin dia akan menjadi sebutan dan mendapat lebih banyak tawaran pelbagai program.

“Kadang-kadang juri beri nasihat sikit saja, tetapi sangat berguna. Cuma kalau cara penyampaian tak berapa menarik, mereka kurang berjaya menarik perhatian penonton.

Naqiu ketika ditemui di majlis pelancaran The Ascott Star Rewards Festival 2025.

“Sekarang ni nak jadi juri pun kena bagi content. Kalau beri komen secara terus, tak menarik untuk penonton lihat,” katanya kepada mStar.

Naqiu berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis pelancaran The Ascott Star Rewards Festival 2025 yang diadakan di pusat membeli belah Mytown, Kuala Lumpur pada Khamis.

Dalam pada itu, Naqiu tidak menafikan ramai bakat-bakat muda sering menunjukkan kemampuan nyanyian mereka menerusi media sosial.

Pun begitu, penyanyi lagu Rindu Separuh Nyawa ini memberitahu mereka perlu mengasah lagi kemahiran menyanyi di khalayak ramai bagi menjadi penghibur yang baik.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Naqiu hilang sabar, dedah perbuatan individu cuba perdaya dan burukkan namanya

ARTIKEL BERKAITAN: Naqiu ada sebab kembali sertai pertandingan nyanyian, pasangan duet di Famili Duo 4 kekal rahsia

“Kita tidak boleh menidakkan teknologi, sekarang ini kalau kita perhatikan anak-anak muda banyak tunjukkan bakat di media sosial.

“Saya ada melatih beberapa orang, bila lihat dia menyanyi di TikTok sedap betul tetapi bila dia berhadapan dengan saya, dia jadi gemuruh.

“Perkara ini yang perlu kita latih sebab kebanyakan budak-budak sekarang pandai menyanyi. Nak belajar teknikal tak perlu sesusah kami dahulu. Sekarang boleh belajar di YouTube,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, buat pertama kalinya syarikat rakaman Sony Music Malaysia bakal menganjurkan persembahan muzik secara langsung dan pencarian bakat yang menampilkan artis-artis tempatan popular termasuk Vanessa Reynauld, Yulia, dan ramai lagi.

Naqiu dipilih sebagai juri di acara The Ascott Star Rewards Festival 2025.

Selain Naqiu, penyanyi Ara Johari dan Khai Bahar turut dipilih sebagai juri bagi mengadili pertandingan karaoke di acara The Ascott Star Rewards Festival 2025.

Sehingga kini, pertandingan menyanyi ini telah mendapat penyertaan seramai 250 peserta.

Pertandingan tersebut turut dibuka kepada semua yang berminat dan setiap peserta berpeluang untuk merebut tawaran menjadi artis rakaman Sony Music Malaysia.

Dianjurkan oleh Ascott Malaysia, festival ini berlangsung pada 24 hingga 27 Julai 2025, pukup 10 pagi hingga 9.30 malam.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Scroll to Top