ANAK kepada usahawan sensasi, Kak KM iaitu Nabila Razman berdepan bayaran penalti sehingga RM50,000 selepas mengikut permintaaan ibunya untuk berhenti kerja sebagai pramugari di sebuah syarikat penerbangan antarabangsa.
Menjawab persoalan dilemparkan netizen, Kak KM atau Liana Rosli, 44, berkata, anak perempuannya itu bukan diberhentikan kerja seperti didakwa ramai sebaliknya tidak meneruskan kerjaya di awan biru.
“Ramai yang tanya betul ke Nabila berhenti kerja atau dia diberhentikan? Takkanlah dia diberhentikan pula. Atas dasar apa? Dia memang pekerja yang baik.
Kak KM tidak sanggup melihat anaknya melakukan kerja-kerja berat.
“Kalau nak ikutkan kontrak Nabila dengan syarikat penerbangan antarabangsa itu selama lima tahun. Bila kita dah langgar kontrak sudah tentu kena bayar penalti.
“Kalau ikutkan penalti yang dikenakan maksimum sehingga RM50,000 tetapi sekarang ini pihak pengurusan syarikat penerbangan itu sedang membuat pengiraan sebenar. Saya harap tidaklah sampai jumlah tersebut,” katanya ketika dihubungi mStar pada Selasa.
Dalam pada itu, Kak KM memberitahu dia sanggup membayar penalti tersebut kerana menganggap wang boleh dicari namun kebajikan anak-anak perlu diberi keutamaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Anak gadis Kak KM tengah cari kerja, impian bawa ibu tunai haji
ARTIKEL BERKAITAN: Susah bersama sebelum kahwin, Kak KM selar alasan putus tunang sebab RM500
Kongsi usahawan berkenaan, dia tidak kisah sekiranya ada yang menganggap dirinya terlalu memanjakan anak-anak kerana sebagai ibu dia mahu memberikan terbaik buat keluarga.
“Biasalah penalti yang perlu dibayar kepada syarikat antarabangsa ini bukan sikit tetapi tak mengapa bagi saya duit boleh cari.
“Bagi saya membesarkan anak-anak ini tak perlu nak marah-marah. Jadi saya tak kisah kalau langgar kontrak pun tak ada masalah, saya bayar sahajalah.
Ramai yang tanya betul ke Nabila berhenti kerja atau dia diberhentikan?
LIANA ROSLI
USAHAWAN SENSASI
“Saya tidak kisah kalau ada yang cakap saya terlalu manjakan mereka. Anak saya biarlah saya yang mencorakkan mereka,” ujarnya.
Kak KM bagaimanapun menyelar dakwaan netizen yang mengatakan Nabila sebenarnya tidak pernah diterima untuk bekerja di syarikat penerbangan tersebut.
Tegasnya, dia sendiri mengakui kesilapan kerana meminta anaknya itu berhenti kerja selepas tidak sanggup melihat Nabila melakukan pekerjaan berat.
“Sejujurnya dia tak cakap nak berhenti tetapi saya yang minta Nabila untuk berhenti.
Kak KM meminta Nabila (kiri) untuk berhenti bekerja sebagai pramugari.
“Saya tidak rasa dia boleh bekerja, tambah pula ini pengalaman pertama dia bekerja. Kedua, dia tak pernah berjauhan dengan keluarga dan saya tak sanggup tengok dia kerja berat macam itu.
“Ada juga yang cakap belum dapat kerjalah itu sebab dia balik tapi kalau memang anak saya tidak terpilih, takkanlah dia sampai nak pergi ke negara tersebut. Jangan cakap seolah-olah mereka (netizen) ini tahu semuanya,” katanya.
Sebelum ini, Kak KM meluahkan rasa sedih apabila Nabila perlu berhijrah ke negara jiran untuk bekerja sebagai pramugari.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube