PELAKON Nabila Huda menyelar tindakan sesetengah pihak yang secara terbuka memperlekehkan bidang kerjaya orang lain.
Melihat sendiri perjalanan hidupnya, bagi Nabila atau Nabila Huda Suhaimi, 41, setiap pekerjaan ada cabaran tersendiri.
Malah dia juga menepis tanggapan kehidupan sebagai seorang selebriti hanya sekadar untuk popular.
Nabila percaya karma itu wujud.
“Tak baik cakap orang bodoh dan merendah-rendahkan kerja orang lain. Semua pekerjaan ada kesusahan sendiri.
“Menjadi pelakon memang nampak seronok dan mewah, tapi realitinya adalah 80 peratus berusaha keras untuk menjadi yang terbaik,” katanya kepada mStar.
Nabila berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis Pesta Unifi TV Lagi Best di The Curve, Damansara, Selangor pada Sabtu.
Dia memberi respons tersebut selepas personaliti media sosial DMA Islam menganggap karier sebagai artis adalah pekerjaan yang membuang masa dan tidak membantu kepada pembangunan negara.
ARTIKEL BERKAITAN:[V] “Siapa?” – Nabila Huda jijik dengar nama ibu tiri, berinya gelaran ‘perempuan itu’
ARTIKEL BERKAITAN:12 tahun duduk kondo, Nabila Huda macam tak percaya akhirnya pindah rumah teres
Tambah pelakon ini setiap kata-kata yang dilemparkan oleh individu berkenaan akan memakan diri sendiri kelak.
“Pada saya karma itu wujud, jika bercakap buruk fasal orang lain benda tu akan berbalik pada diri sendiri.
“Dia yang buat isu sebegini sebenarnya kurang kasih sayang. Walau saya kurang kasih sayang tapi tak pernah sakiti hati orang lain,” ujarnya.
Nama DMA Islam hangat diperkatakan sekarang.
Bagi Nabila apa yang diperkatakan itu juga seperti menggangu perpaduan bangsa kerana boleh menimbulkan pergaduhan.
Justeru dia menasihati orang ramai agar tidak mudah terpadaya atau terlalu cepat melatah.
“Kita ini sesama bangsa Melayu asyik bergaduh sahaja. Melayu pula yang cuba nak jatuhkan bangsa sendiri kerana tak puas hati,” jelasnya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!