PELAKON Jay Iswazir melilih berdamai dengan bekas isterinya iaitu Azzahra Ahmad yang sebelum ini pernah mendedahkan tentang masalah rumah tangga mereka kepada umum.
Mengakui kesal dengan tindakan bekas isterinya itu, Jay atau Ahmad Iswazir Ismail, 43, bagaimanapun berkata persetujuan tersebut dicapai adalah demi kebaikan masing-masing.
“Secara jujurnya hal buka aib itu buat saya terkilan. Daripada menyalahkan pasangan, saya pilih untuk diam dan refleks balik kesalahan diri dan fikir semula mengapa Allah beri saya ujian ini.
“Apa saya boleh katakan, kami pilih untuk berdamai. Saya berjaya ambil langkah untuk kami berdua mengenang balik apa yang sudah dilalui dan terbaik untuk kami.
Jay tidak menyimpan dendam terhadap bekas isteri.
“Hebahan ini dibuat bukan berniat nak memenangkan mana-mana pihak,” katanya kepada mStar.
Jay memaklumkan perkara tersebut ketika ditemui selepas tayangan perdana filem Dajal : Satu Malam Di Pedajal pada malam Rabu.
Tambah aktor itu, meskipun aibnya sudah tersebar, dia tidak pernah menyimpan perasaan dendam terhadap Azzahra.
Malah selepas mencapai keputusan bersama itu, Jay mengakui dirinya berasa lebih tenang daripada sebelumnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Sepanjang jadi artis, ini kecaman paling teruk Jay Iswazir terima… Diugut, dituduh dayus gara-gara kontroversi rumah tangga
ARTIKEL BERKAITAN: Jay Iswazir tuntut permohonan maaf daripada bekas isteri kerana mahu bersihkan nama, nampak ada jalan selesai cara baik
“Selepas berdamai saya rasa lebih tenang sebab kalau meminta maaf dan memaafkan orang, saya dapat ketenangan itu.
“Kami juga sekarang saling mendoakan antara satu sama lain. Saya akui, ia juga satu pengajaran terbesar dalam hidup saya,” ujarnya.
Apa saya boleh katakan, kami pilih untuk berdamai.
JAY ISWAZIR
PELAKON
Dalam masa sama, Jay juga menyerahkan segalanya kepada takdir sekiranya hubungannya dan Azzahra kembali bertaut.
“Untuk kami kembali bersama, bagi saya ia terlalu ke depan. Saya serahkan kepada Allah,” ujarnya.
Sebelum ini, Azzahra menerusi beberapa hantaran di media sosial mendakwa Jay melakukan keganasan terhadapnya ketika mereka masih bergelar suami isteri.
Jay dan Azzahra bercerai pada 28 Oktober tahun lalu.
Hanya berdiam diri, Jay kemudiannya meminta satu permohonan maaf daripada Azzahra untuk mempertahankan dirinya.
Untuk rekod, Jay dan Azzahra mendirikan rumah tangga pada Mac 2022 namun perkahwinan mereka berakhir dengan perceraian pada 28 Oktober tahun lalu.
Dalam perkembangan lain, Jay terlibat sebagai pelakon dalam filem Dajal yang mula ditayangkan pada 6 Februari.
Selain Jay, filem arahan pengarah Pierre Andre itu dibarisi pelakon lain seperti Amir Nafis, Bidin Al Zaifa, Khatijah Tan dan Hanna Halim.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube