KEHILANGAN ibu tersayang semestinya perit dan memberi kesan mendalam buat seseorang.
Tatkala hati sedang dirundung pilu, hanya doa dan kata-kata semangat daripada orang sekeliling yang diharapkan mampu mengubati kesedihan.
Namun tidak dinafikan masih wujud individu yang kurang mempunyai common sense dalam berbicara terutama di hadapan seseorang yang baharu melalui detik kehilangan, sebagaimana kisah dikongsikan wanita ini.
Setiap individu pasti ingin hidup berpasangan. -Gambar hiasan
“Saya berusia 33 tahun, anak sulung dan masih belum berkahwin. Emak baru meninggal bulan Mei lepas. Malam tahlil, ada orang datang tanya… bila nak kahwin ni?
“Saya jawab… Insya-Allah, kerja Tuhan. Dia boleh balas… memanglah kerja Tuhan, tapi doalah. Dalam otak terfikir, seriuslah… malam tahlil mak aku pun kau nak tanya pasal jodoh?” tulisnya dalam satu hantaran di laman sosial.
Jelas wanita itu, individu yang melontarkan pertanyaan itu adalah sepupunya sendiri yang merupakan seorang lelaki dan sudah berkahwin.
ARTIKEL BERKAITAN: Adik gaji ‘basic’ tak sampai RM2,000 sibuk nak kahwin! Kakak geram ibu tak bantah, siap suruh ‘sponsor’ duit hantaran
ARTIKEL BERKAITAN: Abang 9 kali keluar masuk penjara sebab dadah, keluarga sibuk carikan jodoh… Percaya mampu berubah kalau dah beristeri
Tambah wanita tersebut lagi, bukan sahaja soalan yang ditanyakan tidak ‘kena’ masa, namun dia berpandangan, kurang wajar membangkitkan isu berkaitan jodoh memandangkan ia adalah kuasa Yang Maha Esa.
“Allah bagi peluang paling besar, jaga emak sampai akhir hayat dia. Itu rezeki saya.
“Tolong, tidak semuanya perlu diungkapkan, terutamanya apabila seseorang masih bersedih,” luahnya lagi.
-
Wanita yang baru kehilangan ibu ditanya tentang jodoh semasa malam tahlil.
-
Dia menganggap soalan tersebut tidak sensitif kerana masih dalam suasana berkabung.
-
Wanita itu menegaskan soal jodoh adalah urusan Tuhan dan bukan sesuatu yang wajar dijadikan bahan perbualan.
-
Netizen sependapat bahawa orang sekeliling perlu lebih berhati-hati dalam berbicara.
-
Netizen juga berkongsi pengalaman ditanya soalan tidak sensitif antaranya soal jodoh dan zuriat.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian netizen yang rata-ratanya bersetuju bahawa dalam situasi seseorang sedang bersedih, orang sekeliling sewajarnya lebih peka dalam menjaga tutur kata.
Ramai juga berkongsi pengalaman serupa yang mana pernah ditanya soalan mengenai jodoh, zuriat, atau pekerjaan tanpa memikirkan kesesuaian waktu dan keadaan.
Sebahagian daripada komen netizen.
“Ya Allah, saya pernah kena. Masa mak meninggal, saudara datang cakap dekat saya… kesian mak tak sempat tengok menantu. Speechless saya masa tu.
“Kita yang tak kahwin lagi, mereka pula yang rasa runsing.
“Orang tak bahagia memang begitu. Diri sendiri tak ada achievement dan beriya nak tunjuk mereka lebih daripada orang,” demikian antara komen netizen.