PENGARAH Shahrulezad Mohameddin berpendapat lambakan drama televisyen yang memaparkan kisah penyondol dan hubungan toksik dalam rumah tangga bakal memberikan impak buruk kepada masyarakat khususnya golongan remaja.
Menyedari kisah berkaitan rumah tangga sering kali mendapat perhatian ramai, namun Shahrulezad bimbang perkara itu bakal mempengaruhi minda masyarakat dan boleh memberikan impak negatif.
“Kisah-kisah penyondol paling mudah mendapat perhatian. Lagi-lagi kalau kita sengaja biarkan watak heroin atau isteri yang teraniaya ditulis sebodoh mungkin atas dasar cinta. Itu adalah saya satu ketika dahulu apabila menulis cerita.
Shahrulezad mahu memberi mesej yang baik kepada penonton.
“Tapi sejak kebelakangan ini entah kenapa tiba-tiba saya mula risau tentang impak dalam drama kepada penonton.
“Adakah ini yang kita mahu sampaikan kepada anak-anak perempuan kita yang mana tak mengapa kalau terpaksa berkahwin dengan lelaki toksik kerana insya-Allah mereka akan berubah. Inikah yang kita mahukan untuk mempengaruhi minda dibawah sedar anak-anak perempuan kita?” katanya.
Shahrulezad berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya pada Sabtu.
ARTIKEL BERKAITAN: “Saya tak halal dunia akhirat” – Selamba suruh tonton ‘Khunsa’ secara haram, Shahrulezad anggap hasil drama berkualiti sia-sia
ARTIKEL BERKAITAN: ‘Khunsa’ dituduh normalisasi budaya LGBT, Shahrulezad minta netizen hujah secara sihat
Dalam pada itu, Shahrulezad berkata, dia ingin mengingatkan diri sendiri dan syarikat produksi miliknya iaitu Radiusone untuk tidak mengejar populariti semata-mata sebaliknya lebih memikirkan mesej positif yang ingin disampaikan kepada penonton.
“Sejak kebelakangan ini drama-drama berkisar tentang masalah rumah tangga, penyondol, isu terpaksa berkahwin dengan lelaki narsistik dan sebagainya menjadi seperti satu formula penting bagi menjamin kejayaan sesuatu drama.
“Tapi jangan lupa benda paling penting berbanding rating tinggi ialah mesej apa yang kita nak sampaikan dan tinggalkan kepada penonton.
“Teguran ini sebenarnya untuk diri saya dan produksi saya sendiri. Tak guna kalau drama kami rating tinggi, popular dan menang macam-macam anugerah tapi mesej yang kami sampaikan contohnya seperti hubungan toksik adalah satu perkara normal yang dinormalisasikan,” ujarnya.
Shahrulezad menasihati pihak produksi untuk berhenti menormalisasikan kisah penyondol dalam drama.
Shahrulezad bagaimanapun menegaskan perkongsian yang dibuat ini tidak berniat untuk menyindir mana-mana pihak produksi tetapi hanyalah sekadar pendapat peribadi.
“Status ini bukan niat untuk sindir mana-mana drama atau pihak produksi ya. Tapi ia lebih kepada muhasabah diri saya sendiri adakah drama-drama saya yang berjaya sebelum ini Allah reda?
“Kepada semua penulis skrip dan pengarah serta penerbit, tanggungjawab kita sebenarnya bukan untuk menggembirakan stesen televisyen tapi paling penting dan utama adalah menggembirakan Allah terlebih dahulu,” katanya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!