RAMAI peniaga makanan dan minuman mengambil peluang membuka gerai di depan sekolah, mensasarkan waktu puncak iaitu ketika murid pulang ke rumah.
Beraneka juadah meliurkan untuk golongan kanak-kanak mahupun remaja disajikan oleh kumpulan peniaga ini, pastinya lubuk keuntungan yang melimpah-ruah.
Bagaimanapun, melalui satu hantaran di laman TikTok, seorang lelaki mendakwa sebuah gerai diarah berpindah dan berniaga di tempat lain yang jauh dari sebuah sekolah.
Makanan lazat di kantin sekolah mampu membangkitkan selera murid. -Gambar hiasan
Terkejut dengan khabar berkenaan, lelaki tersebut singgah ke lokasi baharu gerai itu didirikan kerana mahu mencuba makanan yang dijual dan melihat sendiri keadaan bisnes peniaga itu.
“Pihak sekolah minta seorang makcik ni berniaga jauh sikit. Alhamdulillah, sekarang masih ada sekitar 100 hingga 200 pelajar yang datang membeli setiap hari dekat gerai makcik ni.
“Makanan pun okay, satu cucuk ayam goreng rangup dan secawan air berharga RM2.
ARTIKEL BERKAITAN: “Buat kisah sedih apabila tak laku” – Pelanggan muak layan ‘drama’ peniaga festival makanan, hakikatnya jualan tak sedap tapi mahal
ARTIKEL BERKAITAN: Bohong… Makanan di Hat Yai didakwa tak murah seperti dicanang, rakyat Malaysia cuma tolong promosi percuma
“Antara faktor gerai makcik ni boleh bertahan adalah lokasinya strategik, makanan murah, produk senang dihasilkan serta ada permintaan,” ujar lelaki terbabit berpuas hati dengan hasil pemerhatiannya.
Menjengah ke ruangan komen, warga maya dilihat lebih tertarik untuk mencari sebab peniaga terbabit diarah berpindah lokasi mencari rezeki.
Rata-ratanya mengaitkan dengan pengusaha kantin sekolah.
“Saya seorang cikgu di sekolah, ini apa yang kebiasaannya berlaku. Murid lebih cenderung beli makanan di luar sebab peniaga banyak jual jajan atau hidangan seumpamanya yang budak-budak suka.
Harga makanan kantin sudah la mahal, murah lagi beli dekat luar… pilihan pun jauh lebih menarik.
WARGA MAYA
“Kalau kantin sekolah pula, pengusaha terikat untuk menyediakan makanan sihat yang mengikut piawaian. Sebab itu ada murid sanggup tak makan waktu rehat… nak simpan duit supaya boleh beli dekat luar waktu balik nanti.
“Benda ni menyebabkan kesulitan kepada pengusaha kantin sekolah. Lagi satu, makanan di luar tu kita tak tahu kebersihannya macam mana. Kalau murid mengalami keracunan, pihak sekolah juga yang kena bertanggungjawab.
“Kita pun tak pasti kalau peniaga luar tu ada lesen penjaja daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), faktor-faktor ini yang mungkin mendorong pihak sekolah untuk mengambil keputusan sedemikian,” terang pelayar.
Risiko kemalangan jalan raya antara kebimbangan warga maya.
Dalam pada itu, warga maya lain dilihat mengemukakan aduan mengenai kualiti makanan di kantin sekolah yang dikatakan merudum.
“Kalau dengki, cakap je la dengki. Menu sihat konon, anak saya beli mi goreng dekat kantin sekolah, rasanya kering macam getah. Keropok lekornya keras macam kayu, boleh patah gigi budak nak gigit. Nasi goreng pula lembap kebasahan.
“Harga makanan kantin sekolah sudah la mahal, murah lagi beli dekat luar, pilihan pun jauh lebih menarik.
“Memang susah la nak untung kalau begini cara kalian berniaga, lepas tu salahkan penjaja luar,” dakwa pelayar lain pula.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube