RSS Suria

Lepas intai anak habis SPM kerja sambilan, mak ayah menangis dalam kereta! – “Biar mama tahu susahnya orang lelaki cari rezeki”

SUDAH menjadi perkara biasa bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk bekerja secara sambilan sementara menunggu keputusan peperiksaan mereka.

Namun usaha seorang pelajar lepasan SPM mencari duit poket sendiri mengundang rasa sedih dan simpati ibu bapanya sendiri.

Dalam satu rakaman video yang tular, bapa kepada remaja lelaki berkenaan membawa isterinya ke sebuah pusat beli belah untuk melihat anak mereka bekerja di sebuah kafe.

Bagaimanapun mereka hanya dilihat mengintai dari jauh remaja lelaki itu tekun melakukan tugasnya.

Bapa kepada pelajar itu membawa isterinya melihatnya bekerja di sebuah pusat beli belah.

“Sengaja abah bawa mama pergi intai tengah kerja.

“Biar mama tahu betapa susahnya orang lelaki cari rezeki sementara tunggu keputusan SPM,” kata si bapa pada video yang dikongsikan semula pengguna lain di laman X.

Menerusi video yang sama, pasangan ini turut merakamkan suasana sebak ketika mereka menjamu selera di dalam kereta, dipercayai selepas selesai melihat si anak gigih bekerja.

ARTIKEL BERKAITAN: Calon SPM kongsi sikap pelik ibu 10 hari sebelum ‘pergi’, banyak petanda tapi anggap biasa siap gelak-gelak dengan arwah

ARTIKEL BERKAITAN: Pergi sekolah, tapi sebagai cleaner! Gadis sedih tak duduki SPM, cuma mampu tengok rakan seusia ambil keputusan dari jauh

Hantaran yang dikongsikan tersebut bagaimanapun tidak disenangi sesetengah pihak dengan ada yang beranggapan ia hanyalah demi content (kandungan) media sosial semata-mata,

“Itu la (sebab) ramai budak-budak sekarang lembik. Sedih tak bertempat.

“Elok anak tu nak berdikari, jadi bijak… nak diviralkan pula raih simpati konon kasihan.

Mungkin mak dia bangga dan terharu tengok anaknya sudah membesar dan berdikari.

NETIZEN

“Ini yang dikatakan struggle? Ada orang lagi susah daripada ini,” kata pemilik akaun X yang berkongsi semula video tersebut.

Namun tak kurang juga ramai yang melihat perkongsian berkenaan daripada sudut positif.

Rata-ratanya memahami tindakan ibu bapa berkenaan yang begitu menyayangi dan bangga melihat anak mereka membesar.

Komen netizen pada video dikongsikan di X.

“Tak ada masalah pun. Mungkin mak dia bangga dan terharu tengok anaknya sudah membesar dan berdikari. Hati mak-mak kan cepat tersentuh. Kecil (nilai) untuk orang lain, tapi besar untuk mak dia.

“Ibu bapa hebat yang menyayangi anak mereka. Sesetengah komen dekat ciapan ni jelas sekali tak cukup kasih sayang. Bagus la awak, nak. Ada ibu bapa yang sangat menyayangi awak akan bawa kepada kejayaan dalam kehidupan.

“Saya faham perasaan mak dia. Dia macam anak aku yang aku jaga dulu dah pandai berdikari. Benda kecil tapi bagi dia bukan sedih tapi lebih kepada terharu,” komen netizen di X.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Scroll to Top