RSS Suria

Lesen tak digantung tapi radio Era kena kompaun RM250,000

GARA-GARA memuat naik kandungan menyentuh sensitiviti agama, pengendali stesen radio Era iaitu Maestra Broadcast Sdn Bhd dikompaun sebanyak RM250,000.

Menerusi kenyataan kepada media, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memaklumkan, kompaun tersebut dikeluarkan bagi kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (selepas pindaan berkuat kuasa 11 Februari 2025), iaitu memuat naik kandungan jelik melampau di akaun rasmi TikTok Era FM.

SKMM juga memutuskan untuk tidak menggantung lesen penyiaran Maestra Broadcast Sdn Bhd, pengendali Era FM, selepas meneliti rayuan syarikat itu terhadap notis penggantungan yang dikeluarkan pada 7 Mac.

Dari kiri: Nabil, Radin dan Azad direhatkan sehingga siasatan kes selesai.

Dari kiri: Nabil, Radin dan Azad direhatkan sehingga siasatan kes selesai.

“Dalam membuat keputusan tersebut, pertimbangan juga telah diberikan terhadap tindakan-tindakan susulan yang telah dilaksanakan oleh syarikat pemegang lesen, permohonan maaf oleh pihak terbabit serta kesan penggantungan terhadap stesen radio Melody dan Mix FM yang beroperasi di bawah lesen yang sama,” katanya.

Dalam pada itu, SKMM memandang serius berhubung sebarang tindakan memuat naik kandungan dalam talian yang boleh mengakibatkan ketegangan antara agama atau menganggu keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

“Semua pengendali dan pengguna platform diingatkan untuk sentiasa bertanggungjawab dalam memelihara keharmonian kaum dan agama di Malaysia serta mematuhi undang-undang,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN:Tarian didakwa persenda agama, Era dan penyampai 3 Pagi mohon maaf

ARTIKEL BERKAITAN:Penyampai 3 pagi Era direhatkan serta-merta, Fahmi Fadzil minta SKMM jalankan siasatan

Sementara itu, Astro Audio dalam satu kenyataan kepada media memaklumkan pihaknya menyambut baik keputusan SKMM untuk tidak menggantung lessen penyiaran radio Maestra Broadcast Sdn Bhd (Maestra) yang merangkumi Era, Mix FM dan Melody FM.

Dalam hal sama, Astro Audio mengambil maklum mengenai kompaun sebanyak RM250,000 yang dikenakan ke atas Maestra dan akan berhubung terus dengan SKMM berhubung hal ini.

Ketua Pegawaio Eksekutif Kumpulan Astro iaitu Euan Daryl Smith turut memaklumkan pihaknya akan terus komited untuk mengangkat tema perpaduan bagi membina semula kepercayaan dalam kalangan pendengar radio.

“Kami kekal komited dalam mengangkat tema kepelbagaian dan perpaduan dalam setiap yang dilakukan serta mengakui betapa besarnya kebimbangan dicetuskan akibat kekhilafan di Era terhadap sebahagian masyarakat yang dilayani.

Radin, Azad dan Nabil sebelum ini sudah memohon maaf atas kekhilafan mereka.

“Fokus kami kini adalah untuk membina semula kepercayaan yang telah dipupuk sekian lama oleh Era bersama pendengarnya,” katanya.

Pada 5 Mac lalu, penyampai segmen 3 Pagi Era iaitu Nabil Ahmad, Azad Jazmin dan Radin dipanggil ke Bukit Aman bagi memberi keterangan susulan penularan video mendakwa mereka mempersenda upacara agama lain.

Pihak Astro Audio pula dalam tindakan segera merehatkan ketiga-tiga penyampai radio tersebut sehingga siasatan kes selesai.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Scroll to Top