RSS Suria

Macam kisah ‘Cinderella’, AG jumpa pemilik sebelah but bola sepak… Rupanya memang ada satu kaki

BAGAI kisah dongeng Cinderella, misteri pemilik but bola sepak kaki kiri yang dicari-cari penyampai radio AG Azmeer akhirnya terlerai.

AG atau Muhammad Azmir Selamat, 45, berkata, dia sudah dapat mengesan pemilik but berkenaan dan akan bertemu dengannya.

AG tak sangka ada kisah menarik tentang Usamah.

“Alhamdulillah, pemilik but sudah ditemui, terima kasih rakan-rakan yang sama-sama usaha untuk saya pulangkan semula but yang tertinggal.

“Rupa-rupanya ada cerita menarik di sebalik but tertinggal, kami akan berjumpa dan saya akan pulangkan kasut itu kepada pemiliknya,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:Bakat AG (Hot FM) Semakin Dipandang Serius

ARTIKEL BERKAITAN:Awal Ashaari, AG Tinggalkan Melodi

AG berkongsi perkara itu menerusi hantaran di Instagram miliknya pada Isnin.

Pada hantaran sama, AG turut memuat naik tangkap layar perbualan dengan pemilik kasut tersebut dikenali sebagai Usamah.

Dalam perbualan tersebut, AG terkejut apabila diberitahu Usamah seorang individu Orang Kurang Upaya (OKU) iaitu kudung kaki kanan.

Ia turut menjelaskan mengapa hanya sebelah but ditemui AG di sebuah taman riadah di Kota Damansara, Selangor.

Antara perbualan AG dengan Usamah.

“Memang ada satu sahaja (but) sebab kaki saya pun ada satu sahaja.

“Saya kudung kaki kanan, jadi main bola sepak menggunakan kaki kiri,” kata Usamah dalam mesej tersebut.

Tersentak dengan jawapan diberikan, AG turut mengajak Usamah hadir ke konti Hot FM bagi berkongsi kisahnya dengan pendengar.

Pada Sabtu lalu, AG terjumpa but berkenaan dan mula berusaha menjejak pemiliknya dengan meminta bantuan netizen di media sosial.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Scroll to Top