RSS Suria

Mahu FFM diiktiraf, Finas cadang hantar wakil jadi juri festival filem di luar negara

PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bercadang menghantar beberapa penggiat seni berpotensi sebagai juri profesional di beberapa festival di luar negara.

Pengerusi Finas, Datuk Kamil Othman berkata, cadangan itu dibuat kerana aspek penjurian adalah penting dalam memastikan Festival Filem Malaysia (FFM) lebih diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Pemilihan ketua juri perlu dalam kalangan individu yang mempunyai pengalaman sebagai juri di festival berprestij antarabangsa.

NP (33)

Finas cadang hantar juri wakil Malaysia ke luar negara.

“Kami juga akan mengenal pasti juri Malaysia yang berpotensi untuk dihantar mewakili negara melalui kerjasama strategik bersama Finas.

“Ini adalah langkah penting untuk membina reputasi filem Malaysia di pentas global,” katanya menerusi kenyataan kepada mStar pada Sabtu.

Dalam pada itu, Kamil memberitahu FFM memainkan peranan penting dalam mendekatkan karya filem tempatan kepada penonton khususnya melalui platform digital termasuk perkhidmatan ‘over-the-top’ (OTT).

Kami berkata, platform berkenaan membuka peluang lebih luas untuk pemain industri mencapai audien di peringkat global.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Imaginur’ dan ‘Abang Adik’ ungguli senarai pencalonan Festival Filem Malaysia ke-33

ARTIKEL BERKAITAN: Karya tempatan beri saingan sengit, tujuh filem hebat bolos kategori Filem Terbaik FFM33

“Kerajaan komited menyokong industri filem dengan beberapa inisiatif terkini antaranya menerusi pembiayaan iaitu Program Belia Kreatif Madani yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 adalah usaha strategik untuk memupuk bakat muda dalam sektor kreatif.

“Selain itu, kerajaan aktif menyokong penerbit tempatan untuk menembusi pasaran global melalui penyertaan festival dan pasaran antarabangsa dari sudut penjualan kandungan dan kolaborasi dengan agensi seperti Tourism Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade),” katanya.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai isu kebajikan buat penggiat seni, Kamil berkata kerajaan semakin komited untuk memperkasakan faedah-faedah sedia ada.

Ini termasuk Inisiatif Program Belia Seni Kreatif dengan peruntukan RM30 juta bakal memberi manfaat kepada 16,000 anak muda dalam bidang seni kreatif.

Kami juga akan mengenal pasti juri Malaysia yang berpotensi untuk dihantar mewakili negara melalui kerjasama strategik bersama Finas.

DATUK KAMIL OTHMAN

PENGERUSI FINAS

“Dalam soal kebajikan melalui pemerkasaan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kerajaan melalui Finas memastikan kebajikan penggiat industri lebih terbela dengan termeterainya memorandum persefahaman (MoU) antara Finas dan agensi berkenaan.

“Sebagai permulaan fokus caruman adalah pemohon Dana Kandungan Kreatif dan Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI).

“Selain itu, pelbagai program pembangunan bakat seperti ‘masterclass’ dan bengkel terus dianjurkan untuk meningkatkan kemahiran golongan muda,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Filem Imaginur dan Abang Adik disebut-sebut bakal menang besar pada malam kemuncak Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) yang bakal berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media pada malam Sabtu.

NP (32)

Tujuh filem bersaing merebut kategori Filem Terbaik.

Imaginur yang diarahkan oleh Nik Amir Mustapha berjaya mendominasi 15 pencalonan daripada 24 kategori dipertandingkan.

Manakala Abang Adik pula meraih 11 pencalonan pada edisi kali ini.

Selain Imaginur dan Abang Adik, lima lagi filem yang bolos dalam kategori Filem Terbaik dan turut memberi saingan pada FFM33 ialah Duan Nago Bogho, Sheriff: Narko Integriti, Mechamato Movie, Hungry Ghost Diner dan Rain Town.

Bertemakan Evolusi Sinema Malaysia (EMAS), FFM33 menerima 104 penyertaan dengan 95 pencalonan layak bertanding yang merangkumi 64 filem cereka, 20 filem pendek dan 11 filem dokumentari.

NP (34)

Abang Adik dan Imaginur ungguli pencalonan terbanyak FFM 33.

Pemenang kategori bakal menerima wang tunai RM5,000 dan trofi, manakala pemenang Anugerah Khas bakal menerima RM10,000 dan trofi.

Anugerah Filem Terbaik pula akan menerima insentif Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM500,000.

Acara itu akan disiarkan secara langsung menerusi platform TV2 dan YouTube Finas pada pukul 9 malam.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Scroll to Top