PELAKON Noorkhiriah memuji kesungguhan dan sikap komited aktres Didi Astillah dalam menjayakan pementasan Teater Muzikal Rubiah yang berlangsung pada 29 Jun lalu.
Noorkhiriah, atau nama penuhnya Noorkhiriah Ahmad Shapie, 49, berkata ini merupakan kali pertama Didi terlibat dalam pementasan teater, namun hasilnya sangat membanggakan meskipun persiapan dilakukan dalam tempoh yang singkat.
Malah, dia turut meluahkan rasa kagum apabila Didi berjaya menyentuh hati penonton dengan lakonannya sebagai watak utama, Rubiah.
Noorkhiriah puji semangat Didi dalam membawa watak Rubiah.
“Hilang kata-kata tapi dia (Didi) berjaya. Masa yang ada terlalu suntuk untuk semua dengan nak hafal dialog yang panjang, nak menguyah dialog yang bukan bahasa harian tapi kiasan tak semudah telinga mendengar.
“Dengan menari, menyanyi… sedapnya suara, gemersik semuanya dilakukan tidak sampai seminggu lebih dan dia berjaya hidupkan roh Rubiah ke dalam dirinya,” katanya.
Noorkhiriah berkongsi perkata itu menerusi Instastory miliknya yang turut memaparkan foto Didi ketika sedang membawa watak Rubiah.
ARTIKEL BERKAITAN: Noorkhiriah kaku ketika sampai kubur, air mata tak henti mengalir jadi jenazah masuk liang lahad
ARTIKEL BERKAITAN: Sekarang Didi Astillah lebih introvert, tak boleh berada di tempat ramai orang… Menyanyi bukan untuk kejar populariti
Tambah Noorkhiriah lagi, Didi bukan sahaja berbakat besar, tetapi juga memiliki keperibadian yang tinggi, termasuk cara bertutur yang sopan dan penuh hormat terhadap dirinya.
“Mata ini menjadi saksi bahawa dia sangat komited, adab akhlak tinggi, budi bahasa. Berjayanya anak hasil didikan kedua orang tua.
“Ini pertama kali teater dia, atas izin Allah Didi berjaya. Terus tunduk ke bumi Didi, kakak doakan yang baik-baik buat Didi. Perjalanan Didi masih panjang, jaga diri izin Allah kita berjumpa lagi,” ujarnya.
Noorkhiriah sebak apabila pementasan Teater Muzikal Rubiah selesai.
Membalas pujian itu, Didi pula meluahkan rasa terharu apabila seorang pelakon berpengalaman seperti Noorkhiriah memberikan kata-kata semangat buatnya.
“Bila orang berilmu tinggi dalam bidang lakonan dan industri seni beri kata-kata yang baik tentang diri kita.
“Terima kasih kak Nor, semoga yang baik-baik segalanya buat orang baik seperti Kak Nor. Sayang Kak Nor sangat,” kongsinya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube