RSS Suria

Nana Mahazan malu nak merungut, terkesan dengar ujian berat insan lain… “Kisah ibu bapa layan anak macam orang asing paling meruntun jiwa”

KERJAYA sebagai penyampai radio banyak mengajar Nana Mahazan tentang nikmat syukur yang mungkin adakalanya kita sebagai manusia terlupa akan kelebihan dimiliki.

Nana atau Nurul Hana Che Mahazan, 41, berkata, sepanjang mengendalikan segmen Bukan Nama Sebenar di stesen radio Zayan, dia berasa malu untuk mengeluh dengan ujian diterima kerana memikirkan ramai masyarakat di luar sana yang ditimpa dugaan lebih berat.

“Perkara paling besar saya belajar ketika menjadi penyampai radio, manusia itu berbeza-beza ujiannya. Kita selalu rasa susah dengan ujian yang kita ada, tetapi sebenarnya orang lain ada lebih banyak ujian.

“Bila dengar masalah-masalah orang lain membuatkan kita rasa malu untuk merungut dengan ujian yang kita ada.

Nana terkesan mendengar luahan pendengar yang berkongsi masalah hidup.

“Pengajaran paling bermakna saya terima adalah semua orang perlu berbuat baik kerana kita tidak tahu apa yang dilalui oleh orang lain,” katanya ketika dihubungi mStar.

Dalam pada itu, Nana memberitahu antara topik perkongsian yang sering dibuat adalah berhubung isu kekeluargaan.

Kata Nana, dia begitu terkesan menerima panggilan daripada seorang pendengar meluahkan kesedihan apabila tidak dapat merasakan kasih sayang daripada seorang ibu dan ayah.

“Kisah yang paling meruntun hati saya kebanyakan berkenaan hubungan keluarga. Sebelum ini saya pernah menerima panggilan daripada anak yang ibu bapanya sudah bercerai dan masing-masing sudah berkahwin baru.

ARTIKEL BERKAITAN: Nana Mahazan menangis tengok Misha Omar menyanyi lagu ‘Halaman Cinta’, teringat momen dibenci semasa AF

ARTIKEL BERKAITAN: "Saya dipalau, dibuli" – Fara Fauzana benci Nana Mahazan, semua Akademi Fantasia punya fasal

“Dia dah tak ada tempat nak mengadu, bila datang rumah mak dia, mak dia tak bagi duduk lama-lama sebab katanya sudah berkeluarga baru. Bapanya pula langsung tak mahu jumpa dia.

“Walaupun pemanggil itu sendiri sudah berkeluarga tetapi dia rasa sedih kerana merasakan dirinya tiada ibu bapa seperti orang lain,” ujarnya.

Mengakui dirinya hanya manusia biasa, Nana juga kadang kala hilang kawalan emosi apabila tidak dapat menahan air mata mengenangkan ujian yang dilalui pendengar radio.

Bila dengar masalah orang lain membuatkan kita rasa malu untuk merungut dengan ujian yang kita ada.

NANA MAHAZAN

PENYAMPAI RADIO

“Memang susah nak kawal emosi tapi cuba terbaik untuk mendengar luahan pendengar. Dalam masa sama, saya tetap manusia biasa yang mempunyai emosi.

“Sedikit sebanyak apa yang kami rasa, pendengar radio pun dapat merasai juga. Mungkin saya terlalu sensitif, kalau saya rasa nak menangis memang saya tak boleh kawal perasaan.

“Saya juga kawal perasaan itu juga tetapi kadang-kadang sampai tak boleh nak bercakap, jadi memang rakan penyampai lain akan cuba mengawal keadaan waktu itu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nana kini mengusahakan perniagaan kafe iaitu 7 Baris hasil kerjasama bersama gandingan penyampai radio Faizal Ismail.

Kongsi Nana, dia bersyukur selepas sebulan pembukaan kafe tersebut, perniagaannya itu menerima respon positif daripada pelanggan.

Nana membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga.

Nana membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga.

Ujar penyampai radio itu lagi, meskipun sibuk dengan tugas sebagai penyampai radio dan perniagaan, dia akan memastikan dapat meluangkan masa bersama keluarga.

“Alhamdulilah hampir sebulan kafe kami beroperasi ramai yang datang beri sokongan. Setiap hari selepas kerja saya akan datang kafe untuk memantau.

“Minggu awal pembukaan kafe saya memang banyak habiskan masa di sana, tetapi sekarang saya perlu ada masa untuk bersama keluarga.

“Saya dahlah keluar kerja pukul 5 pagi, anak masih tidur. Bila balik rumah anak pun dah tidur. Ini adalah pengorbanan untuk saya menjalankan bisnes,” katanya

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Scroll to Top