RSS Suria

Opah viral meninggal dunia penghujung Ramadan… Hasrat anak cucu raya bersama tak kesampaian

SEORANG warga emas yang pernah tular sehingga mendapat liputan mStar pada tahun 2023 menghembuskan nafas terakhirnya pada 3 pagi, Ahad.

Pemergian Rejeah Mat Sohor, 91, disahkan sendiri oleh cucunya, Shaheera Azhar, 25, selepas dia berkongsi berita duka itu menerusi TikTok.

Ketika dihubungi mStar, Shaheera berkata arwah opahnya meninggal dunia akibat sakit tua ketika sedang dirawat di Hospital Kuala Kangsar, Perak.

Tangkap layar video opah yang tular pada tahun 2023.

“Saya dapat tahu opah tenat pada petang Sabtu. Saya pula merancang untuk balik ke Kuala Kangsar pada pagi Ahad.

“Namun, saya dapat panggilan yang opah dah meninggal pukul 3 pagi tadi. Saya berada di Cheras. Terus saya pecut dan tiba pukul 6 pagi.

“Jenazah opah selamat dikebumikan sekitar pukul 10.15 pagi. Opah meninggalkan sembilan anak dan lebih 30 cucu,” ujar Shaheera.

Saya janji akan buat live dengan opah apabila balik beraya di kampung… tapi tak kesampaian.

SHAHEERA AZHAR

CUCU

Menurut Shaheera, dia sekeluarga reda walaupun sedih terpaksa beraya tanpa opah pada tahun ini.

“Kami semua reda sebab opah pergi bulan baik. Tahun ini, ramai ahli keluarga rancang nak balik raya di Kuala Kangsar.

“Tapi tak kesampaian nak beraya dengan opah. Paling kami rindu adalah agar-agar sirap opah. Dia buat memang manis, tapi opah tiada penyakit diabetes,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN:Ibu suruh hantar lunch, cucu ‘bertuah’ sakat nenek nyanyuk… tanya ‘kenapa tak puasa’, opah cerita mandi!

ARTIKEL BERKAITAN:11 sepupu berpakat balik kampung… Opah buka pintu menangis terharu, ramai pelik paling lama peluk cucu sulung

Menurut Shaheera lagi, dia juga terharu apabila ramai ‘cucu online’ opahnya turut mengirimkan doa serta ucapan takziah selepas mengetahui berita pemergiannya itu.

“Saya terharu, rupanya ramai cucu online opah. Sebelum ini, mereka kerap tanya update tentang opah. Saya janji akan buat live dengan opah apabila balik beraya di kampung. Tapi tak kesampaian.

“Saya juga bersyukur banyak rakam video opah selama ini. Itu saja momen yang ada untuk jadi pengubat rindu. Video itu semua akan saya simpan selamanya,” kata Shaheera lagi.

Berita kematian itu dikongsi oleh cucunya menerusi TikTok.

Untuk rekod, Shaheera pernah berkongsi video dia disakat oleh opahnya yang nyanyuk pada Mac 2023 sehingga mereka tular di media sosial.

Malah, kisah comel Shaheera dan opahnya turut mendapat perhatian mStar sehingga keletahmereka diterbitkan menerusi sebuah artikel pada 25 Mac 2023.

Scroll to Top